Tiada mesyuarat antara Menteri UMNO dan Presiden, yang tersebar hanya khabar angin
Ridauddin Daud
Jun 15, 2021 13:37 MYT
Jun 15, 2021 13:37 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada mesyuarat melibatkan Menteri dari UMNO dan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa seperti yang tular dalam media sosial hari ini.
Menurut sumber, berita yang tersebar itu hanyalah khabar angin dan tiada sebarang mesyuarat dijadual akan berlangsung pada jam 3 petang seperti yang tersebar.
“Khabar angin sahaja. Tiada perjumpaan,” jawabnya ringkas.
Bahkan, beberapa pegawai menteri yang lain juga menafikan adanya pertemuan berkenaan.
Sebuah portal pada Selasa melaporkan mesyuarat tersebut diatur Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan menghantar surat jemputan sejak petang semalam.
Begitupun, berdasarkan jadual Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan, beliau dijadual menyertai mesyuarat Asean Defence Minister' Meeting (ADMM) pada Selasa.
Dalam pada itu, portal tersebut melaporkan, tiada makluman mengenai agenda yang akan dibincangkan namun Ismail Sabri dikatakan mengadakan pra-mesyuarat, sebagai persediaan sebelum berjumpa Ahmad Zahid.
Beberapa pegawai menteri dihubungi portal itu juga mendakwa tidak pasti tujuan perjumpaan namun tidak menafikan ada jemputan diterima.
Laporan itu juga menyatakan mesyuarat berkenaan bertujuan meyakinkan Presiden UMNO untuk menyokong Darurat disambung atau membincangkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dari parti tersebut.
#UMNO
#mesyuarat
#presiden
#Zahid Hamidi
#ismail sabri yaakob
#Naib Presiden
#Timbalan Perdana Menteri
#khabar angin
#Bangunan Umno
#WTC
#darurat