Tiada masalah PM jadi Menteri Kewangan, zaman PN perintah pun banyak yang rosak - Anwar tempelak Radzi

Umavathi Ramayah
Februari 14, 2023 14:15 MYT
Kenyataan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin (kiri) yang membangkitkan isu ketirisan jika seorang Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan dibidas Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan nada sinis.
KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin yang membangkitkan isu ketirisan jika seorang Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan dibidas Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan nada sinis.
"Ada kebenaran semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu ada ketirisan dan kes-kes terlibat seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Tetapi pada pemerintahan Perikatan Nasional (PN), kerosakan banyak juga, selain 1MDB, ada kes lain termasuk perbelanjaan jana wibawa, projek tebatan banjir, beberapa ketirisan lain yang dalam siasatan.
"Ada yang bertanya mengapa belum siasat seperti yang saya sebut itu urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan-badan penguat kuasa, tindakan undang-undang atau pendakwaan itu kuasa Peguam Negara.
"Saya rasa kalau Yang Berhormat sabar mungkin dalam masa terdekat akan ada 'berita baik'… untuk rakyat," ujar Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa..
Sehubungan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, tidak ada sebarang masalah seorang Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan dalam Kabinet.
Sebaliknya, kata beliau, yang menjadi masalah adalah apabila individu terbabit menggunakan kuasa itu untuk kepentingan diri sendiri.
"Dalam sejarah, sama ada digabungkan atau sebaliknya, tidak ada masalah. Masalahnya adalah individu berkenaan menggunakan kedudukan untuk merombak harta rakyat, ini terpakai dalam banyak kalangan, yang 'bersih' di sebelah sini (kerajaan) dan sana (pembangkang) jangan bimbang.
"Yang terpalit dengan rasuah yang harus merasa tertekan dan bimbang, saya bertekad untuk pentadbiran kerajaan Perpaduan, saya kaan gunakan segala usaha mengelak dan menghalang khianat dari segi rasuah yang berleluasa," katanya.
#Radzi Jidin #Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #PM jadi Menteri Kewangan
;