Tiada masalah pendedahan audio yang dibuat SPRM - Tun Mahathir

Abd Hadi Che Awang
Januari 11, 2020 00:23 MYT
TUN MAHATHIR: Saya sokong atau tak sokong, (itu) tak penting, yang penting ialah sama ada benda itu boleh dibuat atau tidak. - Gambar fail/Astro AWANI
Pendedahan perbualan telefon yang didakwa melibatkan Datuk Seri Najib Razak bersama beberapa pihak lain yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak salah.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tindakan terbabit adalah sama seperti yang pernah dilakukan pihak berkuasa ketika menyerbu kediaman bekas perdana menteri itu bagi mendedahkan harta yang dimiliki keluarga mereka.
“Dulu masa kita mula, ada orang yang pergi serbu (rumah Najib) dan mereka tunjuk segala barang milik Rosmah dengan Najib kepada kepada orang ramai, sama juga.
"Saya sokong atau tak sokong, (itu) tak penting, yang penting ialah sama ada benda itu boleh dibuat atau tidak.
"Dulu kita dah buat, kita raid Pavilion punya hotel, kita dapati barang yang banyak yang dimiliki oleh Rosmah dan Najib, dan kita tunjuk kepada orang ramai. Kita tak sembunyi," katanya kepada pemberita di sini.
BACA: "Apa alasan SPRM? Kenapa cetuskan ribut?" - Rais, Kadir bimbang pendedahan SPRM
BACA: SPRM dedahkan 9 rakaman audio 'mengejutkan' tentang dakwaan konspirasi
BACA: Rakaman audio diserah kepada polis - Latheefa
Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan dan penyampaian hadian sempena majlis penutup Kejohanan Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2020 edisi ke-18 pada Sabtu.
Pada Rabu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mendedahkan sembilan set rakaman perbualan yang didakwa konspirasi jenayah membabitkan Najib dan beberapa individu lain termasuk isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Pendedahan terbabit turut menerima kritikan dari pelbagai pihak termasuk beberapa pengamal undang-undang seperti Haniff Khatri dan Ramkarpal Singh yang menyifatkan tindakan itu adalah tidak beretika.
#Latheefa Koya #Mahathir Mohamad #Najib Razak #pendedahan audio #Perdana Menteri #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;