Tiada masalah Indonesia henti hantar amah - MAMA
Bernama
Februari 15, 2015 20:37 MYT
Februari 15, 2015 20:37 MYT
Majikan di negara ini tidak akan berdepan masalah sekiranya Indonesia mengambil keputusan menghentikan penghantaran pembantu rumah rakyatnya ke luar negara.
Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata kerajaan boleh mengambil beberapa langkah untuk jangka masa panjang dan pendek bagi memenuhi permintaan majikan itu.
Katanya untuk tindakan jangka panjang, pihak kerajaan dan swasta boleh mewujudkan pusat jagaan anak-anak di tempat kerja yang diawasi oleh pengasuh atau penjaga kanak-kanak terlatih.
"Idea ini dilihat bersesuaian pada masa kini, di mana ketika bekerja, ibu bapa masih boleh memantau keadaan anak-anak, kata beliau.
Ini berbanding anak-anak dihantar kepada pengasuh di mana agak kerap berlaku insiden kecederaan dan kematian anak ketika di bawah jagaan pengasuh, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Engku Ahmad Fauzi diminta mengulas mengenai permintaan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang mahu wanita di republik itu berhenti bekerja sebagai pembantu rumah di negara luar.
"Amalan menghantar wanita Indonesia untuk bekerja sebagai pembantu rumah perlu dihentikan. Kita mesti mempunyai maruah dan harga diri," Joko dipetik berkata oleh agensi berita Antara.
Sehubungan itu, Joko telah meminta Menteri Tenaga untuk merangka formula dan pelan tindakan bagi memastikan Indonesia berhenti menghantar amah ke luar negara.
Engku Ahmad Fauzi berkata, kerajaan juga boleh menubuhkan sebuah institut bagi melatih bakal pembantu rumah di kalangan warga tempatan yang berkemahiran serta berkualiti.
"Institut ini akan berfungsi sebagai pusat pembelajaran mereka yang akan menjadikan pembantu rumah sebagai sebuah kerjaya atau profesyen yang dihormati kerana kepakaran dan kemahiran yang dimiliki mereka sebagai seorang amah," katanya.
Beliau berkata, untuk jangka masa pendek, kerajaan boleh membawa masuk amah dari negara seperti Bangladesh, Nepal, Myanmar, Kemboja, Sri Lanka dan Filipina.
Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) Jeffrey Foo menyokong langkah tersebut.
"Negara-negara seperti Kemboja, Bangladesh dan Nepal dipercayai tidak ada masalah untuk menyalurkan pembantu rumah rakyat mereka kepada majikan Malaysia," katanya.