Tiada masalah bayar cukai rokok elektronik - MEVTA

Hakim Rahman
September 9, 2019 12:01 MYT
Cukai yang dikenakan boleh memberikan pendapatan kepada kerajaan dalam bentuk pulangan cukai selain selain membanteras penyalahgunaan rokok elektronik terutamanya melibatkan remaja dan kanak-kanak. - Gambar hiasan
Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif (MEVTA) tidak mempunyai masalah sekiranya kerajaan ingin mengenakan sebarang cukai terhadap produk-produk berkaitan rokok elektronik.
Pengerusinya, Rizani Zakaria berkata, tindakan tersebut dilihat mampu memberikan pendapatan kepada kerajaan dalam bentuk pulangan cukai selain selain membanteras penyalahgunaan rokok elektronik terutamanya melibatkan remaja dan kanak-kanak.
"Contoh penjualan rokok elektronik atau vape yang dibuat secara atas talian, bagaimana kanak-kanak boleh melakukan pembelian tanpa sebarang verifikasi dan juga penjualan yang dilakukan berdasarkan keuntungan semata-mata.
"Sebab itu kita mengambil pendekatan membenarkan kawal selia ini yang merangkumi semua aspek seperti kebenaran penjualan, pembuatan produk-produk vape, pengedaran," katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Rizani berkata, perusahaan rokok elektronik telah menyumbang kepada ekonomi dengan nilai hampir berbilion ringgit serta telah mewujudkan peluang pekerjaan.
"Kita lihat di Indonesia sendiri yang baru saja meluluskan penggunaan vape telah menyumbang cukai sebanyak AS$30 juta dalam masa tiga bulan jadi ia memang memberikan pulangan kepada kerajaan," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berpendapat, kawalan terhadap penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha bergantung kepada kawalan dalaman.
"Pengguna perlu melihat daripada perspetif yang lebih besar. Adakah kita ini pengguna atau kita dipergunakan oleh sistem? Syarikat-syarikat besar semuanya memerlukan pengguna untuk subscribe to the system supaya ia memjana ekonomi terhadap sesuatu industri.
"Kawalan itu perlu daripada dalaman sebab pada akhirnya kita yang akan mendapat kesan dan akibatnya jadi jika kita serius untuk menangi perkara ini ia perlu bermula dengan kawalan dan kesedaran diri," katanya.
Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini dalam fasa akhir persediaan untuk membentangkan akta baharu berkaitan penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac 2020.
#kesihatan #KKM #rokok elektronik #shisha #tembakau #vape
;