Tiada maklumat terkini mengenai kapal nelayan dijumpai di perairan Filipina - polis

Bernama
Januari 20, 2017 15:04 MYT
Pada awal pagi Khamis, sebuah kapal nelayan yang enjinnya masih hidup ditemukan oleh pasukan keselamatan Filipina di perairan negara itu. - Gambar hiasan
Polis Sabah masih belum menerima apa-apa perkembangan dan maklumat terkini berhubung kes sebuah kapal nelayan berdaftar di Sandakan yang ditemukan di perairan Filipina, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata kapal terbabit masih berada di perairan Taganak, selatan Filipina.
"Masih belum (ada apa-apa perkembangan dan maklumat terkini). Kapal masih di Taganak," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.
Pada awal pagi Khamis, kapal nelayan itu, yang enjinnya masih hidup, ditemukan oleh pasukan keselamatan Filipina di perairan negara itu.
Bernama difahamkan tiga kru warga Indonesia berumur lingkungan 26 hingga 47 tahun yang berada di dalam kapal itu hilang dan nasib mereka masih belum diketahui. -- Bernama
#kapal nelayan #perairan Filipina #polis #Ramli Din #Sabah #Sandakan
;