Tiada maklumat Jho Low berada di Myanmar - KPN
Sinar Harian
November 22, 2024 13:15 MYT
November 22, 2024 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin kerjasama baik dengan rakan setugas di peringkat antarabangsa mampu merungkai pencarian ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hubungan baik dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) dan Sekretariat Polis Asean (Aseanapol) akan membantu PDRM menjejaki individu penting dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan dan dikongsikan sekiranya terdapat maklumat terkini berhubung keberadaan Jho Low daripada rakan setugas antarabangsa.
"Sekiranya ada tindakan serta maklumat untuk diberikan kepada pihak kerajaan Myanmar, kita akan salurkan dan bantu mereka.
"Begitu juga sekiranya ada yang kita minta daripada pihak kerajaan Myanmar, mereka juga akan membantu kita.
"Semua kerjasama baik ini dicapai disebabkan kita dan Myanmar berada dalam Aseanapol," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat selepas majlis perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, PDRM pada masa ini tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung keberadaan Jho Low berikutan polis Myanmar tidak ada menyatakan apa-apa maklumat tentang individu diburu itu.
Beliau berkata, PDRM juga menjalin kerjasama dengan pasukan polis di beberapa buah negara ASEAN.
"Baru-baru ini juga, saya ada menyertai Perhimpunan Agung Interpol ke-92 di United Kingdom (UK) selama seminggu yang turut disertai rakan sejawatan dari negara-negara lain.
"Sudah pasti di situ, apa-apa maklumat yang kita ada akan dikongsi," jelasnya.
Pada Selasa, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa beliau percaya ahli perniagaan buruan, Jho Low kini bersembunyi di negara bergolak Myanmar.
Muhammad Shafee yang merupakan peguam utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan perkara itu pada forum bertajuk 'Media Townhall: Getting the Facts Right-The Untold Stories of 1MDB & Other Cases'.
Beliau menyimpulkan perkara itu berdasar soal balasnya terhadap bekas penasihat undang-undang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan, yang pernah dianggap sebagai proksi Jho Low.
Jasmine yang menghilangkan diri pada 2018 sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa pada tahun lalu, menjadi saksi penting dalam perbicaraan rasuah Najib membabitkan penyalahgunaan dana 1MDB bernilai berbilion ringgit.
Dakwa Muhammad Shafee, daripada keterangan Jasmine yang disoal siasat, beliau merasa Jho Low berada di Myanmar dan dilindungi oleh jeneral di negara itu. - Sinar Harian