Tiada maaf untuk sindiket menjual bayi
Astro Awani
Januari 25, 2013 19:49 MYT
Januari 25, 2013 19:49 MYT
Tiada maaf bagi sesiapa yang terlibat dalam kes sindiket menjual bayi dan kanak-kanak. Itu ketegasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengulas sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang dibongkar polis di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Hishammuddin berkata tiada siapa berada lebih daripada undang-undang negara dan tidak akan dikenakan tindakan.
Beliau menegaskan pihaknya tidak mahu sindiket seperti itu berleluasa dan akan bekerjasama dengan negara jiran untuk memastikan ia dapat dihentikan.
Pada Khamis polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri itu, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.
Sementara itu, Hishammuddin meminta semua pihak menunggu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selesai menyiasat dan mengumumkan keputusannya berhubung pemberian hak kerakyatan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Katanya masih ramai saksi yang belum dipanggil dan bukan masanya untuk merumuskan sesuatu keputusan.