"Tiada maaf baginya, tindakan akan diteruskan" - KPN
Bernama
September 1, 2014 21:10 MYT
September 1, 2014 21:10 MYT
Polis tetap mengambil tindakan terhadap dua pengguna laman sosial Twitter yang dikesan menghina pasukan keselamatan itu, walaupun seorang daripadanya telah memohon maaf dalam catatan laman Twitternya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata hari ini polis akan meneruskan siasatan terhadap kedua-dua mereka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan 1948.
"Tiada maaf baginya. Tindakan akan diteruskan," katanya ketika dihubungi Bernama sebagai mengulas permohonan maaf Viktor Wong, yang menulis "Hello both @PDRMsia @KBAB51, I am retracting the suggestion on the bastardization and apologize to you and all your members of the force" (saya menarik balik cadangan mengenai 'bastardization' dan meminta maaf kepada anda dan semua anggota pasukan anda).
Semalam, Viktor Wong dalam Twitternya menulis "Bastardization of @PDRMsia. Thanks to the ruthless@KBAB51. Henrich Himmler of Malaysia".
Heinrich Himmler merupakan antara individu paling digeruni di bawah pemerintahan Nazi di Jerman.
Khalid berkata tindakan undang-undang juga tetap diambil terhadap seorang lagi individu yang menggunakan akaun Twitter Nasrul Omar walaupun dia telah memadamkan 'post' dalam laman Twitternya.
Semalam, Nasrul mengeluarkan kenyataan biadap terhadap polis dan Khalid.
Sehubungan itu, Khalid mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengenal pasti individu tidak bertanggungjawab di sebalik dua akaun Twitter berkenaan.