'Tiada maaf bagimu', tegas Muhyiddin kepada dalang banjir Cameron Highlands

Bernama
November 9, 2014 07:27 MYT
MUHYIDDIN: Satu daripada sebab kenapa perkara ini (kejadian banjir dan tanah runtuh) berlaku adalah tidak ada ketegasan dari segi pelaksanaan undang-undang dan penguatkuasaan. - Gambar Fail
"Tiada maaf bagimu", tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pendatang tanpa izin yang menceroboh dan ahli politik yang melindungi pencerobohan di tanah tinggi Cameron Highlands sehingga menyebabkan banjir lumpur dan tanah runtuh Rabu lepas.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi membanteras gejala yang berleluasa itu, kerajaan akan menggerakkan operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan bagi memastikan pihak terlibat segera dikenakan tindakan tegas.
"Satu daripada sebab kenapa perkara ini (kejadian banjir dan tanah runtuh) berlaku adalah tidak ada ketegasan dari segi pelaksanaan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggarnya.
"Jadi, kita telah putuskan bahawa kerajaan perlu ambil tindakan tegas dan saya telah arahkan satu operasi besar-besaran dilaksanakan bagi memastikan hal ini dihentikan segera," katanya.
Operasi itu akan dilakukan seberapa segera berikutan sudah ada pihak yang berani mencabar kerajaan dan agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan terhadap mereka, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands di bilik operasi Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini hari ini.
Berhubung dakwaan aktiviti pencerobohan oleh pendatang asing itu dilindungi 'orang politik', Muhyiddin berkata ia tidak boleh dijadikan alasan untuk penguatkuasaan undang-undang dikecualikan terhadap mereka.
"Bagi saya sama ada ia politik atau bukan politik, yang penting alam sekitar tidak boleh terus dimusnahkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Kita tidak bimbang, kita tak kisah. Kita perlu ambil tindakan terhadap siapa saja yang melindungi. Orang sebegini kalau terbukti mereka itu adalah antara dalang-dalang, tindakan dari segi undang-undang boleh diambil," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang penting bagi kerajaan ialah alam sekitar perlu dijaga dan keselamatan penduduk di kawasan terlibat perlu diutamakan melebihi kepentingan lain.
Kejadian banjir dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada Rabu lepas, mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut meminta agensi berkenaan segera berbincang dengan pihak Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana selain pendatang dari Bangladesh dan Nepal, terdapat lebih 4,000 pelarian Rohingya yang memegang kad UNHCR berada di Cameron Highlands.
Beliau berkata perbincangan itu perlu disegerakan kerana walaupun dilindungi UNHCR, mereka tetap tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah melanggar sebarang undang-undang negara.
"Saya minta dibincangkan dengan UNHCR cara bagaimana untuk mengurus mereka ini ... kita terpaksa ambil tindakan, tidak ada layanan yang berasingan kepada mereka yang melanggar undang-undang," katanya.
Bagi memastikan operasi bersepadu melibatkan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rayuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) itu berjalan lancar, Muhyiddin meminta pihak berkenaan mengemukakan permohonan untuk sebarang keperluan seperti penyediaan tempat kurungan sebelum pendatang yang ditahan dihantar pulang.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains memberi tumpuan kepada Cameron Highlands dalam kajian terhadap kawasan risiko tanah runtuh dan menyediakan pelan mitigasi jumlah penduduk yang mungkin terancam.
Katanya beliau tidak menetapkan tempoh masa tertentu bagi menyediakan pelan itu namun berharap pelan mitigasi tanah runtuh itu dapat menyediakan maklumat tentang kawasan-kawasan yang tidak stabil dan mungkin runtuh, khususnya yang didiami penduduk.
#banjir lumpur #bomba #Cameron Highlands #lembah bertam #Muhyiddin Yassin #penyelamat