Tiada longgokan sampah dalam hutan di Ipoh

Bernama
Mei 27, 2019 23:16 MYT
Pemandangan longgokan sampah plastik yang didakwa tidak terurus di dalam hutan di Kawasan Industri Sekitar Tasek hari ini. --fotoBERNAMA
Jabatan Alam Sekitar Perak menafikan kewujudan longgokan sampah plastik yang tidak terurus di dalam hutan di Ipoh sebagaimana yang ditularkan oleh media antarabangsa.
Pengarahnya Norazizi Adinan berkata longgokan sampah yang ditularkan itu sebenarnya dikumpul di tapak sebuah syarikat yang memproses sampah sebagai bahan bakar.
"Syarikat itu beroperasi di Kawasan Perindustrian IGB di Tasek dan tidak melanggar sebarang peraturan," katanya ketika dihubungi hari ini bagi mengulas laporan Daily Mail Online yang menyebut terdapat longgokan sampah plastik setinggi enam meter di dalam hutan di sini.
Katanya premis yang mempunyai lesen daripada Majlis Bandaraya Ipoh itu beroperasi secara sah dan pihaknya sentiasa memantau operasi di kawasan itu bagi memastikan ia mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sementara itu, Pengarah Operasi Resourceco Asia (M) Sdn Bhd Ir K. Muralindran berkata longgokan sampah di tapak itu dianggar seberat dua tan dan ia dikumpul sejak awal tahun ini.
BACA: Siasat segera lambakan menggunung plastik sampah di pedalaman Perak
Katanya syarikat yang beroperasi sejak 2011 itu mengumpul sampah seperti plastik dan fabrik untuk diproses menjadi bahan bakar bagi kegunaan kilang memproses simen.
"Kita adalah syarikat pertama seumpamanya di Malaysia dan pendekatan memproses sampah menjadi bahan bakar sebenarnya membantu menjaga alam sekitar daripada lambakan sampah di tapak pelupusan," katanya.
Beliau berkata syarikatnya membeli antara 3 tan hingga 4.5 tan sampah setiap bulan dari pelbagai industri dan komersial untuk dikitar semula.
Mengenai dakwaan media Britain itu, Muralindran berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ia dilakukan sekumpulan empat lelaki warga asing yang pernah memasuki tapak pengumpulan itu pada Disember lepas.
"Kami mengajak mereka datang ke pejabat untuk beri penerangan apa yang berlaku sebenarnya tapi mereka enggan dan terus pergi selepas mengambil gambar termasuk menggunakan dron," katanya.
Tambahnya satu laporan polis mengenai kumpulan itu telah dibuat pihaknya pada 14 Dis lepas di Balai Polis Kampung Tawas.
-- BERNAMA
#Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 #hutan #Ipoh #Jabatan Alam Sekitar #lambakan sampah #lesen #longgokan #longgokan sampah #Majlis Bandaraya Ipoh #Norazizi Adinan #Perak #sampah plastik #Tapak Pelupusan #tapak pengumpulan sampah #warga asing
;