Tiada larangan, MB, Exco negeri pembangkang dijemput ke Hari Sukan Negara 2023 - KBS

Bernama
September 22, 2023 12:42 MYT
KBS memaklumkan HSN akan tetap dilaksanakan di negeri-negeri pembangkang dan penyelarasan HSN dipengerusikan oleh ICU JPM. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Besar dan Exco Belia dan Sukan Negeri dari negeri ditadbir pembangkang tetap dijemput bagi memeriahkan penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di peringkat negeri masing-masing.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan memaklumkan HSN akan tetap dilaksanakan di negeri-negeri pembangkang dan penyelarasan HSN dipengerusikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti yang diputuskan oleh kabinet kerajaan sebelum ini.
Menurut KBS, tujuan penyelarasan oleh ICU JPM bertujuan bagi melancarkan pengurusan dan pentadbiran pelaksanaan melibatkan program dan aktiviti kerajaan persekutuan.
"Hari Sukan Negara merupakan agenda nasional bagi membudaya dan merakyatkan sukan tanpa mengira fahaman politik selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan," menurut kenyataan tersebut hari ini.
Semalam, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa exco dari empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) dihalang untuk menyertai program anjuran kerajaan Persekutuan.
Katanya, larangan tersebut termasuk bagi exco sukan di negeri pembangkang yang tidak akan mempengerusikan HSN peringkat negeri seperti sebelum ini.
HSN dijadual berlangsung dari 13 hingga 15 Okt dengan sambutan peringkat kebangsaan bakal diadakan pada 14 Okt ini di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.
-- BERNAMA
#Hari Sukan Negara #KBS #sanusi #tidak dijemput
;