Tiada larangan guna terma 'Merdeka' bagi rujuk Hari Kebangsaan

Bernama
Ogos 16, 2018 17:28 MYT
KKMM menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat patriotisme.
Tiada larangan dalam penggunaan terma 'Merdeka' bagi merujuk kepada sambutan Hari Kebangsaan, kata Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata orang ramai boleh menggunakan terma Hari Kemerdekaan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia untuk mengadakan program atau acara berkaitan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi menyemarakkan dan menggelorakan semangat patriotik.
Kenyataan itu berkata KKMM, selaku Urus Setia Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, juga menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing bagi menzahirkan semangat patriotisme dan menyokong kempen Kibar Jalur Gemilang 2018.
Orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Merdeka di talian 03-89115680/5684/5679 atau emel kepada sekretariatmerdeka@gmail.com untuk maklumat lanjut.
Hari Kebangsaan akan disambut pada 31 Ogos di Putrajaya, manakala Hari Malaysia akan disambut pada 16 Sept.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #hari kemerdekaan #Hari Malaysia #Jalur Gemilang #Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia #KKMM #Merdeka
;