Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi di Turkiye setakat ini
Bernama
Februari 6, 2023 15:27 MYT
Februari 6, 2023 15:27 MYT
PUTRAJAYA: Tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda wilayah Kahramanmaras, Turkiye awal Isnin setakat ini.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan ringkas dikongsi melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini.
"Setakat ini, misi kami belum menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi itu," menurut kenyataan itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Ankara boleh dihubungi melalui talian +(90) 312 4463547/ 48 atau +(90) 534 4571006 (selepas waktu pejabat) atau e-mel mwankara@kln.gov.my.Sementara itu, Konsulat Jeneral di Istanbul boleh dihubungi melalui talian +(90) 212 9891001/ 09 atau +(90) 551 7112174 (selepas waktu pejabat) atau e-mel mwistanbul@kln.gov.my.
Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh manakala 440 lagi cedera selepas gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye pada 4.17 pagi Isnin.
Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 7 kilometer, diikuti dengan dua gempa susulan yang melanda wilayah Gaziantep, masing-masing berukuran 6.4 dan 6.5 pada skala Richter.
Negara jiran Syria turut terjejas dengan 237 orang dilaporkan maut manakala sekurang-kurangnya 639 cedera akibat gegaran kuat melanda wilayah Idlib, Aleppo, Hama, Latakia, dan Raqqa.
-- BERNAMA