Tiada laporan ragut guna tali tangsi, hanya kemalangan langgar tali layang-layang - Polis

Afiezy Azaman
September 14, 2021 08:23 MYT
Polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan cubaan meragut menggunakan tali tangsi di Terowong Penchala Link seperti ditularkan dalam satu rakaman audio.
KUALA LUMPUR: Polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan cubaan meragut menggunakan tali tangsi di Terowong Penchala Link seperti ditularkan dalam satu rakaman audio.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, bagaimanapun berkata pihaknya hanya menerima laporan berkaitan satu kemalangan berkaitan tali layang-layang.
"Sehingga kini, polis tidak menerima laporan berkaitan perkara yang ditularkan tersebut dan meminta mangsa kejadian tampil membuat laporan polis untuk dijalankan siasatan lanjut seperti dakwaan," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman audio berdurasi 1 minit mendakwa berlaku modus operandi meragut menggunakan tali tangsi yang diikat secara melintang di Terowong Penchala Link.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, kejadian tersebut tiada kaitan dengan kes cubaan meragut di Terowong Penchala Link yang tular di media sosial pada Isnin.
Jelasnya, kemalangan berlaku pada 2 September lalu melibatkan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan terlanggar tali yang berada di atas jalan raya Lebuhraya Sprint, pada jam 6.30 petang.
"Mangsa yang berusia 28 tahun menunggang motosikal dari Pavilion Damansara menuju ke rumah di Meru Klang.
"Apabila tiba di Lebuhraya Sprint, 1 kilometer (km) dari susur keluar Plaza Tol Damansara mangsa terlanggar tali layang-layang yang terputus.
"Akibat pelanggaran itu, ia mengenai muka mangsa menyebabkan kecederaan ringan di muka dengan kesan luka koyakan di bahagian pipi dan bibir.
"Siasatan yang dijalankan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ataupun khianat dan hanya melibatkan kes kemalangan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
#ragut guna tali tangsi #Terowong Penchala Link #tali layang-layang #rakaman audio
;