Tiada laporan penipuan ganti kad pengenalan babitkan mangsa banjir - JPN
Bernama
Disember 30, 2022 16:43 MYT
Disember 30, 2022 16:43 MYT
TUMPAT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak menerima sebarang laporan penipuan berhubung penggantian kad pengenalan baharu membabitkan mangsa banjir di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, setakat ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu bagi memastikan mangsa banjir yang hadir ke pejabat JPN bertujuan mendapatkan kad pengenalan baharu kerana rosak atau hilang akibat musibah itu.
"Setiap permohonan perlu menggunakan cap jari sebagai pengecaman berdasarkan rekod yang ada dalam sistem sebelum ini.
"Sekiranya ada unsur penipuan, kita akan lakukan siasatan tetapi kebanyakan mereka yang datang adalah betul-betul menghadapi masalah banjir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir kepada 22 kakitangan JPN Kelantan yang terlibat banjir di Pejabat JPN Tumpat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata pihaknya juga mendapati jumlah permohonan bagi penggantian kad pengenalan baharu akibat banjir menunjukkan pengurangan berikutan kesedaran rakyat yang bersiap sedia berdepan dengan bencana alam itu.
-- BERNAMA