Tiada laporan pegawai kerajaan baharu terlibat rasuah- Tun Mahathir

Rahimah Abdullah
Oktober 30, 2018 13:16 MYT
Perdana Menteri hari ini melancarkan Persidangan Anti-Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mampan yang berlangsung di ibu negara. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan tiada laporan salah laku politik wang dan rasuah melibatkan mana-mana pegawai di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) setakat ini.
Bagaimanapun beliau memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa yang terlibat dengan rasuah.
"Buat masa ini, dilaporkan tiada pegawai kerajaan yang didapati terlibat dengan rasuah. Jika ada yang melakukan kesalahan itu dan menyembunyikannya, maka kita ada agensi terlibat yang akan mengesan mereka dan memastikan mereka dihukum.
"Ketika ini, tumpuan kita dalam membanteras rasuah adalah melibatkan kerajaan sebelum ini. Namun, jika ada ada mana-mana bukti berlaku amalan rasuah dalam kerajaan baharu, kita harap orang ramai menjadi pemberi maklumat kepada pihak berkuasa," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mampan di sini hari ini.
Tegasnya, kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah berjanji untuk membanteras rasuah.
Malah, dalam memastikan matlamat itu berjaya, anggota kerajaan terlebih dahulu perlu bebas daripada salah laku berkenaan.
"Kita semua tahu bahawa pemimpin tertinggi sebelum ini adalah terlibat rasuah, kemudian yang lain juga akan mengikutinya. Jadi adalah sangat penting bahawa kerajaan baharu yang dipilih semasa pilihanraya lalu mencegah dari terlibat rasuah.
"Jadi, peraturan baharu telah dilaksanakan dalam usaha membanteras rasuah di kalangan pemimpin kerajaan. Ini kerana kerajaan sebelum ini telah menyalah guna kuasa dan hasilnya, negara kita terlibat dengan rasuah pada di pelbagai peringkat,"
Malah, beliau mengingatkan semua pihak terutama pegawai kerajaan bahawa rasuah adalah kesalahan jenayah dan mana-mana individu yang terlibat tidak akan terlepas daripada hukuman.
#ekonomi #integriti #jenayah #kerajaan #Mahathir Mohamad #menteri #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #politik #Rasuah
;