Tiada laporan mangsa banjir positif COVID-19 - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Januari 6, 2021 19:33 MYT
Dr Noor Hisham berkata, tiada kes yang melibatkan pesakit di bawah pemantauan dan wabak dikesan di lima negeri yang mengalami banjir. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menerima laporan mangsa banjir yang dijangkiti COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada kes yang melibatkan pesakit di bawah pemantauan dan wabak dikesan di lima negeri yang mengalami banjir.
Jelasnya, banjir melibatkan Perak, Selangor, Kelantan, Pahang dan Johor itu menyebabkan 23,631 orang mangsa dan ditempatkan di 297 pusat pemindahan.
"Setakat ini tiada kes yang melibatkan PUS (Person Under Surveillance) dan tiada wabak penyakit COVID-19 dikesan. Bagaimanapun kita kesan ada tiga kes kematian di Johor kerana lemas semasa banjir.
[SIDANG MEDIA] Perkembangan jangkitan kes COVID19 - 6 Jan 2021
"Kita juga ada garis panduan yang telah dikeluarkan iaitu garis panduan pencegahan pengurusan COVID-19 dan pusat pemindahan sementara mangsa banjir dan juga pengurusan banjir semasa pandemik.
"Setiap pengurusan di peringkat daerah dan mukin dapat mematuhi garis panduan yang telah kita diketengahkan dan patuh kepada mereka terkesan ketika banjir, mereka disaran untuk patuhi SOP," katanya semasa sidang media pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, kementeriannya akan membuat perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menempatkan kes gejala ringan di pusat kuarantin.
Selain itu ujarnya, mereka juga akan mempertimbangkan kes positif untuk warga negara dan mereka yang berkemampuan untuk membayar tempat penginapan seperti hotel sebagai lokasi kuarantin.
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
Tiada kes yang melibatkan PUS dan wabak penyakit dikesan akibat banjir
#SOP #KKM #COVID-19 #mangsa #banjir #pandemik #Noor Hisham Abdullah #Dr Noor Hisham Abdullah #Majlis Keselamatan Negara #Kementerian Kesihatan #mangsa banjir #pusat pemindahan
;