Tiada laporan jenayah babit mangsa dari Singapura sejak sempadan dibuka

Sinar Harian
April 9, 2022 07:30 MYT
Kamarul Zaman hadir di Majlis Berbuka Puasa bersama anggota bertugas Op Tambak, pada Sabtu. -Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Polis Johor tidak menerima sebarang aduan kes jenayah membabitkan mangsa dalam kalangan warga Singapura sejak pembukaan sempadan antarabangsa pada 1 April lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia termasuk tiada kes ragut atau samun dilaporkan membabitkan warga republik tersebut.
"Pihak polis hanya menerima laporan membabitkan kes pecah rumah warga Singapura di Bandar Seri Alam, Masai dan kejadian itu dipercayai sudah lama berlaku.
"Kami tidak menolak kemungkinan ia berlaku ketika tempoh dua tahun lalu apabila pandemik COVID-19 melanda negara.
"Ketika itu pemilik rumah berkenaan tidak dapat memasuki negara ini," katanya kepada pemberita dalam program Berbuka Puasa Ketua Polis Johor Bersama Anggota Bertugas Op Tambak di Angsana Johor Bahru Mall, pada Sabtu.
Menurut Kamarul Zaman, pemilik rumah sepatutnya memaklumkan kepada polis atau jiran sekiranya meninggalkan kediaman mereka untuk mencegah kejadian jenayah.
Tambah beliau, mengikut pemantauan pihaknya, aktiviti kunjungan warga asing termasuk Singapura ke pusat membeli-belah seperti Angsana Johor Bahru Mall dan Paradigm Mall juga tidak ada sebarang masalah.
"Lebih 1,600 pegawai dan anggota polis bertugas di 41 kawasan tumpuan pelancong dan orang ramai.
"Kawasan 'hot spot' yang dikenal pasti tinggi adalah melibatkan 10 kawasan di Johor Bahru selatan dan tiga di Johor Bahru utara," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Johor Bahru #Singapura #Kamarul Zaman Mamat #aduan kes jenayah
;