Tiada laporan individu cedera langgar benang di SUKE - Polis
Sinar Harian
Mei 14, 2024 15:45 MYT
Mei 14, 2024 15:45 MYT
AMPANG: Polis belum menerima laporan berkaitan dakwaan seorang individu cedera akibat terkena benang yang melintang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) selepas susur keluar Taman Kosas menghala ke Plaza Tol Bukit Teratai.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya terkesan satu paparan berkaitan insiden itu yang tular di laman sosial pada Isnin.
"Paparan tersebut menunjukkan seorang individu yang menyatakan bahawa dagunya terkoyak akibat terkena benang yang melintang di jalan pada jam 6.30 petang, Isnin.
"Sehingga kini, kita masih belum menerima apa-apa laporan berkaitan dengan insiden tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Azam berkata, pihak polis meminta kerjasama mangsa berkenaan untuk tampil ke mana-mana balai polis terdekat bagi membuat laporan berkaitan dengan insiden itu.
"Sekiranya ada saksi lain bagi insiden ini juga diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, pada masa sama pihak Polis Ampang Jaya akan membuat siasatan awal dan perjumpaan dengan pengendali SUKE untuk tindakan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi tentang insiden itu," katanya. -Sinar Harian