Tiada lanjutan program PKPS - Lim Guan Eng

Astro Awani
September 29, 2019 12:36 MYT
Lim berkata, mereka yang masih belum berbuat demikian perlu merebut peluang ini segera bagi mengelak dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu antara 45 dan 300 peratus. - Gambar fail
Para pembayar cukai di negara ini yang masih belum membuat pengisytiharan cukai pendapatan dinasihatkan supaya segera memanfaatkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ini kerana, tiada tempoh lanjutan akan diberikan selepas tempoh PKPS berakhir esok.
Katanya, kerajaan sudah memberi tempoh mencukupi untuk pembayar cukai mengisytihar pendapatan masing-masing secara sukarela kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Justeru, katanya, mereka yang masih belum berbuat demikian perlu merebut peluang ini segera bagi mengelak dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu antara 45 dan 300 peratus.
"Esok adalah hari terakhir. Kita harap sesiapa yang hendak buat pelaporan, masih boleh bentangkan. Dan, sungguhpun tidak diluluskan, asalkan mereka bentangkan pada hari esok pun, akan dikira sah laku.
"Mereka yang laporkan cukai yang mereka lupa laporkan, atau tidak lapor sama ada sengaja atau tidak, esok adalah hari terakhir. Kita harap semua boleh guna kesempatan ini, kerana tidak ada lanjutan.
"Sungguhpun mereka bentangkan esok, ia masih sah, kerana mungkin proses akan makan masa dua minggu hingga satu bulan. Masih sah kerana ia dilaporkan pada 30 September, iaitu hari terakhir," kata Lim.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya 'Drive With Us' anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang di Stesen Minyak Petronas, Jalan Raja Uda, di sini, hari ini.
Mulai 1 Oktober depan, penalti minimum sebanyak 45 peratus akan dikenakan ke atas mana-mana pendapatan yang tidak diisytiharkan untuk tujuan pembayaran cukai.
PKPS yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 adalah inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan dan seterusnya berupaya mengurangkan ketirisan hasil negara.
Ia bertujuan memberi peluang kedua kepada pembayar cukai yang mempunyai masalah pematuhan cukai untuk membuat pembetulan pelaporan cukai mereka dengan menawarkan kadar penalti rendah iaitu hanya 15 peratus bagi fasa kedua program itu.
#Belanjawan 2019 #cukai #isytihar pendapatan #ketirisan #lanjutan #LHDN #Lim Guan Eng #pematuhan #penalti #PKPS
;