Tiada lagi tindakan MCMC terhadap trio DJ Era FM, harap jadi pengajaran untuk semua - Fahmi

Firdaus Azil
Mac 11, 2025 21:55 MYT
Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) tidak berhasrat untuk meneruskan apa-apa tindakan terhadap tiga penyampai radio Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jazmin, dan Radin Amir Affendy. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) tidak berhasrat untuk meneruskan apa-apa tindakan terhadap tiga penyampai radio Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jazmin, dan Radin Amir Affendy.

Ringkasan AI
  • Kementerian Komunikasi dan MCMC tidak akan mengambil tindakan lanjut terhadap tiga penyampai radio Era FM.
  • Pengendali Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd, dikenakan kompaun RM250,000 kerana memuat naik kandungan jelik di TikTok.
  • Fahmi Fadzil berharap masyarakat lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak menyentuh sensitiviti.

Menterinya Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketiga-tiga penyampai tersebut sudah melalui pelbagai perkara seperti siasatan dan sebagainya.
Katanya lagi, syarikat operator Era FM, iaitu Maestra Broadcast Sdn Bhd juga telah dikenakan tindakan yang dilihat bersesuaian oleh Jabatan Peguam Negara, iaitu kompaun oleh MCMC sebanyak RM250,000.
“Saya percaya (keadaan ini) memang mendatangkan kesan yang negatif, termasuk kepada mereka. Jadi saya minta mereka bersabar, tenang dalam menghadapi dugaan besar ini. Dan saya juga memaklumkan kepada mereka bahawa kita tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan kepada mereka, they have have gone through enough.
“Dan tindakan oleh pihak MCMC (adalah) dengan izin Jabatan Peguam Negara khususnya Timbalan Pendakwa Raya ialah untuk mengenakan kompaun kepada syarikat Maestra Broadcast Sdn Bhd ataupun MBSB, yang merupakan pemegang lesen MCMC. Sebagai pemegang lesen, terdapat beberapa perkara yang perlu mereka patuh,” katanya lagi.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita di Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Media di Angkasapuri Kuala Lumpur, pada Selasa.
Terdahulu MCMC membuat keputusan untuk tidak menggantung lesen, Maestra Broadcast Sdn Bhd iaitu pengendali stesen radio Era FM.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat setelah meneliti hujah-hujah rayuan daripada pengendali stesen tersebut, berhubung notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan pada 7 Mac lalu.
"Walau bagaimanapun, Maestra Broadcast Sdn Bhd telah dikenakan kompaun sebanyak RM250,000, bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu Fahmi berkata, beliau sedia maklum mengenai pandangan beberapa pihak yang melihat tindakan tersebut seolah-olah terlalu tinggi, berbanding dengan kompaun yang diterima pihak lain yang turut memuat naik kandungan sensitif sehingga menyentuh kesucian Islam.
“Itu adalah di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang yang berbeza dan dia tidak melibatkan kandungan dalam talian ataupun pemegang lesen MCMC. Manakala ada juga yang membuat perbandingan dengan individu seperti Harith Iskandar dan Cecillia Yap yang dikenakan kompaun RM10,000.
“Mereka adalah individu bukan syarikat, bukan sendirian berhad. MakaTimbalan Pendakwa Raya berpandangan jumlah yang diizinkan itu sebanyak RM10,000 adalah munasabah. MCMC tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya tapi akan berpandukan keizinan yang diterima daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya lagi.
Fahmi berkata, beliau berharap agar masyarakat lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau kandungan agar tidak menyentuh sensitiviti, dan berharap agar insiden tersebut dijadikan sebagai pengajaran oleh semua pihak.
#Fahmi Fadzil #DJ Era FM #MCMC #tindakan
;