Tiada lagi sentuhan magis Abdul Latip, pereka fesyen terkenal Melanau meninggal dunia
Syafik Shukri Jalil
Jun 10, 2020 15:44 MYT
Jun 10, 2020 15:44 MYT
Dunia fesyen Sarawak hari ini kehilangan seorang pereka fesyen tempatan terkenal, Abdul Latip Hj Mohti.
Ini selepas Abdul Latip, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Bintulu sekitar jam 2.55 pagi tadi pada usia 49 tahun.
Arwah yang merupakan anak jati Mukah cukup terkenal dengan sentuhan magisnya dalam menghasilkan busana terutama melibatkan busana tradisional etnik Melanau di Sarawak.
Menerusi jenamanya Latip’s Collection, namanya cukup sinonim di sekitar Mukah, Daro dan Dalat dalam menghasilkan busana tradisional Melanau malah rekaannya juga diterjemah dalam bentuk moden kontemporari seiring dengan peredaran zaman.
Busana rekaannya turut pernah digayakan golongan pemimpin dan kenamaan Sarawak seperti Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib yang juga merupakan Ahli Parlimen Mukah.
Digelar ikon fesyen etnik Melanau, Abdul Latip dikenali sebagai seorang pereka fesyen yang sering mengangkat martabat dan nilai estetika etnik ini walau di mana jua karyanya dipersembahkan.
Antara acara fesyen yang pernah menjadi saksi kepada pementasan karya seninya adalah Borneo Fashion Week, Hari Kraf Kebangsaan, Festival Kraf Borneo Sarawak dan banyak lagi.
#Abdul Latip Mohti
#Abdul Taib Mahmud
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Latip's Collection
#Melanau
#Pereka Fesyen Sarawak
#Taib Mahmud