Tiada lagi RASA Food Arena di Suria KLCC

Faris Danial Razi
September 2, 2021 20:53 MYT
RASA Food Arena adalah medan selera yang terletak di tingkat 4 dalam bangunan Suria KLCC yang menyediakan pelbagai jenis hidangan. - Gambar Twitter/ Haaziq Zahar
KUALA LUMPUR: Sejak beberapa hari lalu, sejumlah netizen berkongsi di laman media sosial mengenai penutupan medan selera yang popular di pusat beli-belah terkenal di ibu negara, Suria KLCC.
Operasi medan selera RASA Food Arena yang terletak di Suria KLCC mengundang kesedihan dalam kalangan netizen khususnya mereka yang sering mengunjunginya sebelum ini.
Justeru, apabila notis memaklumkan penutupan RASA Food Arena dinaikkan, ramai sekali yang berkongsi di laman media sosial.
Notis itu memaklumkan medan selera RASA Food Arena di Suria KLCC menghentikan operasi buat selama-lamanya bermula semalam (1 September).
"Dukacita dimaklumkan bahawa RASA Food Arena, Suria KLCC ditutup secara kekal bermula 1 September 2021.
"Terima kasih di atas sokongan anda sejak lebih 22 tahun. Kami berbesar hati menyediakan perkhidmatan terbaik kepada anda," jelas nota pemakluman itu.
RASA Food Arena adalah medan selera yang terletak di tingkat 4 dalam bangunan Suria KLCC yang menyediakan pelbagai jenis hidangan.
Bagaimanapun, Signatures Food Court yang sebelum ini diubah suai dengan menempatkan puluhan jenis kedai masih kekal beroperasi seperti biasa.
#KLCC #Suria KLCC #Rasa Food Arena #medan selera
;