Tiada lagi proses panjang sebaik ordinan berita tidak benar dikuatkuasa - Takiyuddin
Abd Hadi Che Awang
Mac 14, 2021 16:07 MYT
Mac 14, 2021 16:07 MYT
ALOR SETAR: Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berwajib dapat diambil secepat mungkin iaitu dalam tempoh 24 jam terutama dalam menangani berita tidak benar berkait dengan COVID-19 dan Proklamasi Darurat selepas Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 dikuatkuasakan pada Jumaat.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pihak penguatkuasa sebelum ini perlu melalui prosedur biasa yang mengambil masa lama terutama dalam menyiasat sesuatu kes berita tidak benar di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
"Saya dimaklumkan Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia (Datuk Saifuddin Abdullah), bahawa sebelum daripada ordinan ini dibuat, hampir 300 kes melibatkan aduan kepada polis dan juga SKMM dah dibuat, oleh kerana undang undang yang ada ini memerlukan pada prosedur yang panjang macam SKMM kena check, siapa punya akaun dan sebagainya, sometime dia take months (berbulan bulan),
"Maka dengan ada ordinan ini ia cepat, seorang yang didapati dalam miliknya satu berita tidak benar disahkan oleh satu badan pengesah, bila diarahkan turun (atau padam berita), dia kena turunkan dalam masa 24 jam, ini cara (selepas ordinan dikuatkuasakan)," katanya.
Tambah beliau, perkara yang penting di pihak kerajaan adalah apabila sesuatu berita itu disahkan sebagai berita tidak benar, ia perlu segera diturunkan atau dipadamkan daripada mana-mana laman media sosial.
Tegasnya, jika perkara itu diingkari oleh pemilik akaun, maka ianya akan menjadi satu kesalahan.
"Yang penting pada kita ialah bila ada satu berita tidak benar, berita itu disahkan berita tidak benar, berita itu perlu diturunkan daripada portal, daripada posting apa-apa kena turunkan.
"Itu yang kita utamakan, jika sekiranya berita itu didapati tidak benar, diarahkan diturun, kemudian diingkari atau tidak dipatuhi itulah yang menjadi kesalahan yang dibawa ke mahkamah, ini yang saya hendak tekankan," katanya lagi.
Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, di sini, pada Ahad.
Pada Jumaat, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, menyatakan bahawa Pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 adalah bagi mempercepatkan proses penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan bagi mereka yang terbabit menghasilkan berita tidak benar.
Jelas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mempunyai kuasa untuk membuat penahanan di bawah ordinan berkenaan.
#Takiyuddin Hassan
#Ordinan Darurat
#PDRM
#SKMM
#Menteri di Jabatan Perdana Menteri
#COVID-19
#darurat
#Polis Diraja Malaysia
#undang-undang
#Parlimen
#Saifuddin Abdullah
#berita tidak benar
#berita palsu
#fake news