Tiada lagi premis judi di Kedah, kerajaan digesa pantau judi dalam talian - Cake

Abd Hadi Che Awang
Januari 2, 2023 17:23 MYT
Mohamad Yusrizal berkata, tindakan perlu diambil bagi memastikan kegiatan tidak bermoral itu dapat dibendung terutama melibatkan masyarakat beragama Islam. - Gambar/ Astro AWANI
ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menggesa Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian yang bertanggungjawab mengambil langkah serius bagi mengekang kegiatan judi dalam talian yang berleluasa ketika ini.
Lebih-lebih lagi, dibimbangi penggemar aktiviti judi di Kedah akan beralih kepada judi dalam talian selepas semua premis perjudian dan loteri di negeri ini tidak lagi dibenarkan beroperasi bermula 1 Januari 2023.
Menurut Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusof, tindakan perlu diambil bagi memastikan kegiatan tidak bermoral itu dapat dibendung terutama melibatkan masyarakat beragama Islam.
"Gejala ini juga adalah akan mewujudkan masalah gejala sosial (terutama) di peringkat kampung (dan luar bandar) membabitkan judi online (ini). Saya menerima banyak laporan daripada penghulu, JKKK, wakil kampung bahawa di tempat mereka banyak jadi ketagihan kepada judi online.
"Kegiatan ini memberi kesan terhadap masyarakat sehingga (menyebabkan) berlakunya (kes-kes) penceraian, bergaduh (sesama keluarga) dan sebagainya (terutama) di peringkat kampung-kampung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan pemantauan harga barang di Pasar Besar Alor Setar pada Isnin.
BACA: Tiada lagi kedai judi di Kedah bermula hari ini
Tiada lagi premis judi, loteri di Kedah
Yusrizal turut memuji tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengambil keputusan tidak lagi membenarkan operasi premis perjudian dan loteri di negeri ini.
Jelasnya, keputusan itu mampu mengurangkan kegiatan tidak bermoral sehingga mencetuskan masalah sosial yang kritikal dalam kalangan masyarakat Islam.
Sebelum ini, Kerajaan negeri Kedah menamatkan sepenuhnya semua operasi premis perjudian dan loteri berkuat kuasa 1 Januari 2023.
Muhammad Sanusi berkata, bagi memastikan tiada pemilik premis mengingkari arahan itu semua PBT diarah memantau dan memastikan semua premis perjudian terbabit mematuhi arahan yang diputuskan November 2021 lalu itu.
#judi dalam talian #tiada lagi premis judi #Kedah #cake
;