Tiada lagi pelukan mesra, 2 beradik pasrah hilang ibu, ayah dalam tempoh 2 bulan
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 13, 2021 17:46 MYT
Oktober 13, 2021 17:46 MYT
SUNGAI PETANI: Kehilangan ibu dan bapa dalam tempoh dua bulan bukan perkara mudah diterima, namun itulah hakikat terpaksa dihadapi dua beradik, Nur Amanina Hazwani Romli, 15, dan Nur Amera Natasya, 13.
Kini bergelar anak yatim piatu, dua beradik itu yang tinggal di Kampung Kuala Ruat dekat sini, hilang tempat bergantung sepenuhnya.
Menceritakan kisah pilu menimpa mereka, Nur Amanina, berkata ibu meninggal dunia pada 13 Ogos akibat kanser otak sebelum disusuli bapa pada 2 Oktober lalu akibat COVID-19.
Manurut anak sulung pasangan Allahyarham Normala Mad Desa, 45, dan Romli Saad, 56, segalanya berlaku dengan pantas dengan tiada sebarang petanda kerana kedua-duanya sihat sebelum meninggal dunia.
Katanya, semua mereka tidak mengetahui ibunya menghidap kanser otak sehingga bapa menghantar ibunya ke Hospital Yan dekat sini, untuk pemeriksaan apabila mengadu tidak sihat.
Nur Amanina, berkata doktor yang merawat ibu kemudian merujuknya kepada pakar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
"Mak tiba-tiba tidak sedarkan diri di HSAH. Keesokan harinya kami dimaklumkan mak sudah tak ada. Memang kami semua terkejut dan hilang kata-kata," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Selepas pemergian ibu, dua beradik ini bergantung hidup kepada bapa mereka yang menyara hidup sebagai nelayan.
Bagaimanapun, mereka sekali lagi diuji apabila bapa yang menjadi kekuatan untuk meneruskan hidup, meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 pada 2 Oktober lalu.
Nur Amanina berkata, bapanya juga tidak menunjukkan sebarang tanda sakit yang serius.
"Masa ayah mula sakit, tak tau kenapa, dia cuma cakap dia demam urat saja. Dia minta saya keluar beli ubat di farmasi.
"Tapi bila saya balik, nampak dia lemah sangat sebelum dia dihantar ke Hospital Sungai Petani dan disahkan dijangkiti COVID-19. Keadaannya, semakin buruk sebelum meninggal dunia tiga hari kemudian," katanya.
Kehilangan dua insan tercinta itu ternyata memberi kesan mendalam buat mereka kerana memikirkan masa hadapan yang terpaksa ditempuh ketika usia baru meningkat remaja.
Bukan tidak mempunyai saudara lain, namun dua beradik terbabit enggan menyusahkan sesiapa kerana menyedari masing-masing mempunyai tanggungjawab serta komitmen terhadap keluarga sendiri.
Mujur nasib mereka mendapat perhatian Rumah Anak Yatim Perempuan Jariah Qaseh di Perdana Heights, di sini yang menerima dua beradik itu sebagai 'ahli keluarga' baharu.
Pengerusinya, Natipah Abu, berterima kasih kepada pihak Murtadha Dakwah Centre (Madad) yang berjaya mengesan dan membantu membawa dua beradik itu ke rumah anak yatimnya.
"Insya-Allah dua beradik ini akan kita pindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sungai Petani sebab dekat dengan kawasan kita ini dan kita akan uruskan pengangkutan dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Nur Amanina dan Nur Amera, berasa berat untuk meninggalkan rumah lama yang menyimpan banyak kenangan bersama Allahyarham ibu dan bapa mereka, namun akur dengan keadaan yang berlaku dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.
Nur Amanina berkata, kerap terkenang kedua-dua ibu bapanya.
"Ayah baik sangat... tak pernah marah, memang baik... macam itu juga mak... mak pun baik, nak pergi ke mana semua bagi kebenaran... nak apa semua bagi... memang rasa kehilangan sangat-sangatlah...," katanya sayu.
Bagi Nur Amera Natasya, hidupnya pasti tidak sama namun dia pasrah dengan ujian Allah.
"Bila terkenang ibu, saya pasti rindu masakan ayam masak merah yang dia masak. Selepas ini, tiada lagi masakan ibu, tiada lagi pelukan ayah setiap kali dia balik dari laut," katanya.