Tiada lagi monopoli, bayar tol dengan kad debit, kredit di 5 lebuh raya tahun ini

Nailah Huda
Mac 21, 2023 17:30 MYT
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, antara lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya Sungai Besi. - Foto fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengguna jalan raya boleh menggunakan kad debit dan kredit untuk pembayaran tol di beberapa lebuh raya utama negara bermula selewat-lewatnya September 2023.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka (open payment system) itu adalah inisiatif awal dalam peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang giat diusahakan.
Lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Jambatan Pulau Pinang.
“Melalui pelaksanaan MLFF, open payment system akan dilaksanakan bagi kutipan tol bagi kesemua lebuh raya di Malaysia dan akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan e-Wallet untuk turut serta dan tiada lagi monopoli oleh pihak Touch ‘N Go.
“Dengan itu, persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol sekali gus memberikan kemudahan kepada mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tambah beliau, pembuktian konsep sistem MLFF akan dijalankan sebelum penghujung Oktober 2023 bagi menilai sistem tersebut sebelum dilaksanakan di lebuh raya seluruh negara.
Namun, katanya lokasi bagi pembuktian konsep masih dirundingkan dan bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat, sebelum pelaksanaan MLFF secara sepenuhnya dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.
Pengumuman itu dibuat susulan perancangan dan perbincangan diadakan bersama pihak-pihak terlibat termasuk syarikat konsesi lebuh raya sejak awal tahun ini.
Alexander berkata demikian bagi mengulas mengenai isu monopoli Touch ‘N Go yang diketengahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
#Touch 'n Go #kad debit #pembayaran tol #Alexander Nanta Linggi #monopoli
;