Tiada lagi 'Menteri Parlimen' selepas ini - Timbalan Speaker

Diyana Ibrahim
Oktober 24, 2018 17:23 MYT
NGA KOR MING: Di bawah suruhanjaya ini, Parlimen akan mempunyai kewangan sendiri, tidak akan ada menteri yang bertanggungjawab atas urusan Parlimen. - Gambar fail
Tidak akan ada lagi menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen selepas ini, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming.
Menurut beliau, hal itu berikutan pelaksanaan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang akan menggantikan Akta Parlimen.
“Di bawah suruhanjaya ini, Parlimen akan mempunyai kewangan sendiri, tidak akan ada menteri yang bertanggungjawab atas urusan Parlimen.
“Speaker akan mempunyai kuasa mutlak menjadi Ketua Dewan, yang akan mempengerusikan Dewan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau juga berharap usul tersebut akan dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat tahun depan, antara bulan Mac atau April.
Ketika ini menteri bertanggungjawab ke atas Parlimen adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong yang mengambil alih daripada menteri Barisan Nasional, Datuk Seri Azalina Othman Said.
#Akta Parlimen #Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen #Azalina Othman Said #menteri #menteri hal ehwal parlimen #menteri parlimen #Nga Kor Ming #Parlimen #Timbalan Speaker Dewan Rakyat
;