Tiada lagi lumba haram skala besar di P. Pinang

Bernama
September 9, 2022 18:24 MYT
Shuhaily berkata, ia adalah hasil operasi dan pemantauan berterusan PDRM bersama agensi lain antaranya JPJ bagi mengekang kegiatan lumba haram. - Bernama
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mendapati tiada lagi kegiatan penganjuran lumba haram dalam skala besar oleh mat rempit selepas kejadian kemalangan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang meragut lima nyawa pada Julai lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ia adalah hasil operasi dan pemantuan berterusan pihaknya bersama agensi lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengekang kegiatan lumba haram.
"Pihak kami sentiasa melakukan pemantauan terhadap kegiatan tersebut dan kami tidak terima maklumat berlakunya perlumbaan haram yang besar oleh mat rempit, hanya terdapat beberapa kes kecil melibatkan penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya.
"Ada dua tiga kes (mat rempit) ditahan, tetapi ia lebih kepada tunjukkan aksi berani seperti 'ala superman'. Polis tidak akan kompromi dan akan minta reman ke atas pelaku kegiatan rempit ini,'' katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Pada 17 Julai lepas, lima penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan beberapa motosikal dan dua kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini, yang polis percaya akibat kegiatan lumba haram.
Mohd Shuhaily berkata pihaknya juga akan mengadakan satu mesyuarat khas bersepadu melibatkan pelbagai agensi berkaitan untuk membincangkan langkah dan rangka strategi menangani isu mat rempit serta lumba haram.
"Mesyuarat itu mungkin diadakan pada minggu depan atau dua minggu lagi berhubung susulan Pulau Pinang yang akan dijadikan model bagi projek perintis iaitu dengan menggunakan strategi baharu dalam menangani isu mat rempit dan lumba haram, seperti yang dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak pada Ogos lepas," katanya.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran program Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) 2022 pada 13 hingga 15 Sept ini dan ekoran daripada itu beberapa jalan yang menjadi lokasi penganjurannya akan ditutup.
Menurutnya lokasi yang terlibat bagi penganjuran program itu adalah Pusat Konvensyen Setia Spice, Hotel Eastern and Oriental dan Padang Kota Lama dengan dijangka 4,000 delegasi dari dalam dan luar negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyertainya.
"Acara penutup program ini akan diadakan pada 15 Sept di Padang Kota Lama, untuk itu beberapa lokasi jalan akan ditutup antaranya Jalan Tun Syed Sheh Barakbah bermula pukul 12 tengah hari 15 Sept hingga 1 pagi keesokkannya, manakala Lebuh Duke dan Jalan Padang Kota Lama pula bermula pukul 12.01 tengah malam 15 Sept hingga 1 pagi 16 Sept," katanya.
-- BERNAMA
#lumba haram #pulau pinang #Shuhaily Mohd Zain #JPJ
;