Tiada lagi laluan mudah di Sarawak

Khairunnisa Kasnoon
April 21, 2013 07:16 MYT
SARATOK: Selepas penamaan calon selesai pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan semua 222 kerusi Parlimen termasuk 31 di Sarawak ditandingi. Tiada mana-mana parti yang menang tanpa bertanding.
Senario ini berbeza dengan keadaan pada pilihan raya 2008 apabila Barisan Nasional menang lapan kerusi Parlimen tanpa perlu menunggu hari pengundian pada 8 Mac. Daripada lapan kerusi yang dimenangi tanpa bertanding itu, lima adalah di Sarawak iaitu Tanjong Manis, Igan, Kanowit, Selangau dan Kapit.
Penganalisis politik Sarawak, Dr. Jeniri Amir melihat bahawa ini satu petanda bahawa BN perlu lebih mantap dalam kempennya untuk memikat hati pengundi supaya kekal mengembalikan mandat seperti dalam pilihan raya 2008.
"Tiada lagi jalan mudah ini kali," kata Dr. Jeniri semasa kami dalam perjalanan ke Saratok, kira-kira 4 jam setengah dari Kuching.
Kerusi Parlimen Saratok (P.205) adalah antara kerusi panas dalam pilihan raya umum kali ini. Ia akan ditandingi oleh Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom yang menggantikan penyandang kerusi itu, Jelaing Mersat yang digugurkan pada saat-saat akhir beberapa hari sebelum penamaan calon.
Pengguguran itu dibuat hasil kajian lapangan yang dilakukan di kawasan Parlimen itu di kalangan pengundi sejak tiga bulan lepas. Kajian menunjukkan Mawan adalah calon pilihan dan ada potensi menang.
“Mereka (pucuk pimpinan BN) boleh memilih calon lebih berpotensi (daripada saya) tetapi malangnya tidak ada, justeru saya mesti sahut cabaran ini,” katanya seperti dipetik oleh The Borneo Post baru-baru ini.
Ini adalah kali pertama Mawan bertanding kerusi Parlimen. Pada pilihan raya negeri April 2011, beliau menang di kerusi DUN Pakan yang terletak dalam kawasan Parlimen Julau dengan majoriti 1,197 mengalahkan calon SNAP Jamal Abdullah.
Mawan akan bertanding melawan calon Parti Keadilan Rakyat, Ali Biju dan seorang calon bebas, Datuk Abang Rosli Abang Palei.
Ali Biju adalah pemimpin pembangkang di Sarawak yang diperhatikan selepas membuat kejutan jadi "pembunuh gergasi" pada pilihan raya negeri 2011. Beliau mengalahkan wakil rakyat veteran di N34 Krian, Datuk Peter Nyarok Entrie yang juga Timbalan Presiden SPDP. Ali Biju menang dengan majoriti 2,090 undi.
Semasa penamaan calon pilihan raya negeri 2011, beliau menghimpunkan lebih 3,000 penyokong berarak di sekitar pekan Saratok — perarakan terbesar penyokong pembangkang yang pernah diadakan di Saratok. Pada penamaan calon Sabtu lalu, suasana sama berlaku tetapi suasana lebih meriah kerana SPDP yang turut berarak dengan calon mereka sama hebatnya.
Tetapi bagi Dr. Jeniri, bukan Saratok saja jadi kerusi panas dalam pilihan raya kali ini. SPDP juga berdepan cabaran di kerusi Parlimen Mas Gading apabila penyandangnya Datuk Dr. Tiki Lafe yang digugurkan oleh parti itu jadi calon bebas.
"Isu pergolakan dalam parti itu sendiri mungkin akan beri impak kepada SPDP," jelas Jeniri.
Selebihnya, kerusi Baram, Hulu Rajang, Lubuk Antu juga adalah antara kerusi yang perlu diberikan perhatian serius oleh BN. Di semua kerusi itu, BN diwakili oleh calon daripada Parti Pesaka Bumiputera (PBB) pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Semua kerusi panas. BN kena kerja keras, 'all out', terutama PBB," katanya.
Pada masa sama, calon-calon BN di Mukah, Limbang, Batang Lupar dan Sadong juga perlu berusaha lebih meskipun ada jangkaan bahawa mereka akan menang.
Dalam pilihan raya ini, daripada 31 kerusi yang dipertandingkan, 3 kerusi menyaksikan pertembungan 4 penjuru, 14 kerusi 3 penjuru dan 14 kerusi juga satu lawan satu.
Apa yang pasti, walaupun Sarawak disifatkan sebagai simpanan tetap BN dalam setiap pilihan raya, pada kali ini, tiada lagi istilah 'goyang kaki' jika ia mahu terus berkuasa.
____________________________
Khairunnisa Kasnoon adalah wartawan Astro AWANI yang membuat liputan PRU-13 di Sarawak. Beliau juga membuat liputan Pilihan Raya Negeri pada April 2011.
#ali biju #Parlimen #PRU-13 #PRU13 #Saratok #william mawan
;