Tiada lagi kuarantin jika jadi kontak rapat, fasa pertama dimulakan sektor kesihatan - Khairy

Astro Awani
Februari 17, 2022 21:06 MYT
Khairy Jamaluddin berkata, satu pekeliling telah diedarkan kepada semua petugas kesihatan bertarikh 15 Februari lalu. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan mengenai pemansuhan prosedur pengasingan atau kuarantin bagi mereka yang menjadi kontrak rapat kes COVID-19 minggu depan, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan itu berkata, bagi fasa pertama, ia akan dimulakan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam.
Sehubungan itu katanya, satu pekeliling telah diedarkan kepada semua petugas kesihatan bertarikh 15 Februari lalu.
"Kontak rapat berlaku tanpa disengajakan dan apabila apabila ia berlaku maka terjadinya gangguan kepada ekonomi, pengurusan pekerjaan dan sebagainya dengan ketara.
"Satu pekeliling sudah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk pekerja kesihatan mengenai satu protokol baharu dikenalkan dan bagi mereka yang dikesan kontak rapat mereka tidak perlu melakukan pengasingan jika tiada gejala.
"Sebaliknya hanya perlu melakukan ujian pada hari-hari tertentu," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.
Khairy menambah, kerajaan mungkin akan melaksanakan protokol yang sama kepada orang ramai sekiranya ia boleh dilaksanakan.
Katanya, beliau juga telah meminta Dr Noor Hisham untuk memanjangkan perkara itu kepada sektor kesihatan swasta jika mereka mahu melaksanakan protokol yang sama.
Sebelum ini, individu yang didapati menjadi kontak rapat dan belum lengkap vaksinasi, termasuk tiada suntikan dos penggalak diarahkan menjalani isolasi atau pengasingan untuk tempoh tujuh hari.
Bagi individu yang sudah menerima suntikan dos penggalak, mereka hanya perlu menjalani pengasingan selama lima hari sekiranya didapati menjadi kontak rapat kes positif COVID-19.
#Khairy Jamaluddin #kontak rapat #kuarantin #isolasi
;