Tiada lagi keperluan mohon kebenaran Pesuruhjaya Sukan - Hannah Yeoh
Irfan Faruqi
Mac 23, 2023 15:25 MYT
Mac 23, 2023 15:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memansuhkan keperluan permohonan bagi mendapatkan kelulusan penganjuran sukan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) berkuat kuasa hari ini.
Ia termasuk semua pertandingan dan acara sukan tempatan yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Malah acara anjuran NGO seperti larian amal juga tidak lagi memerlukan kebenaran PJS seperti sebelum ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata keputusan tersebut adalah sebahagian daripada hasil perbincangan menerusi program Townhall Bersama Industri Sukan pada 31 Januari lalu dan selaras dengan konsep Madani untuk tumpukan perhatian kepada penyelesaian masalah.
"KBS telah memutuskan semua pertandingan acara sukan tempatan yang dianjurkan oleh badan sukan sama ada persatuan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah serta kelab-kelab berdaftar yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] tidak perlu mendapatkan kelulusan PJS.
"Walaubagaimanapun, badan sukan perlu memastikan semua pertandingan dan acara sukan yang dijalankan dan disertai adalah mengikut kaedah garis panduan yang diiktiraf. Ini termasuk langkah kesihatan dan keselamatan melibatkan peserta, pegawai dan penonton.
"Selain itu perlu dapatkan perlindungan insurans," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Katanya, bagi kementerian dan badan kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan pula, Hannah berkata mereka perlu berhubung dengan KBS melalui Jabatan Sukan Negara bagi tujuan penyelarasan.
Hannah juga menyatakan semua penganjur disarankan mematuhi pelaksanaan kod sukan selamat dalam setiap pertandingan dan acara yang dijalankan.