Tiada lagi jualan, kenderaan guna NGV mulai Julai 2025
Umavathi Ramayah
November 4, 2024 13:25 MYT
November 4, 2024 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Mulai 1 Julai tahun depan, semua kenderaan menggunakan gas asli (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
“Sehubungan itu Petronas akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat di pasaran sebelum penamatan sepenuhnya mulai 1 Julai 2025.
“Bekalan runcit NGV di seluruh negara juga ditamatkan secara berperingkat bermula 1 Oktober lalu dan menjelang suku tahun kedua 2025, tiada lagi sebarang bekalan runcit NGV akan ada di dalam pasaran tempatan,” katanya pada sidang media Pengumuman Dasar Penggunaan Kenderaan NGV di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, bagi membantu peralihan pemilik kenderaan NGV kepada bahan api lain, Petronas NGV Sdn Bhd (PNGV) mengambil inisiatif untuk menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV untuk kumpulan sasar yang terjejas, iaitu pemandu kenderaan teksi NGV, para pemilik kenderaan bahan api tunggal dan juga dwibahan api NGV.
Program Bantuan Peralihan ini terdiri daripada tiga pakej seperti di bawah:
Pertama: Pakej bantuan peralihan kepada pemandu teksi NGV yang layak
Bagi setiap pemandu berdaftar yang layak, bantuan dalam bentuk e-baucar sebanyak RM3,000 akan diberikan melalui aplikasi Setel secara one-off.
Syarat kelayakan utama adalah pemandu teksi NGV yang mempunyai Kad Pemandu dan Permit Kenderaan yang sah dengan APAD dan aktif untuk tempoh mulai 1 Januari 2024 sehingga 30 September 2024.
Namun, bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan, individu yang mendaftar sebagai pemandu teksi NGV selepas 30 September 2024 tidak layak menerima pakej ini.
Pemohon yang berjaya akan mendapat pakej bantuan secara one-off ini dalam tempoh 15 ke 30 hari bekerja
Kedua: Pakej menanggalkan kit NGV
Pakej ini membabitkan kerja menanggalkan kit terutamanya tangki daripada kenderaan yang telah diubah suai (dwibahan api), termasuk teksi NGV.
Semua kos akan ditanggung sepenuhnya dan hanya boleh dilaksanakan di bengkel yang berdaftar sahaja;
Syarat kelayakan utama adalah kenderaan jenis dwibahan api yang didaftarkan dengan JPJ dan aktif untuk tempoh mulai 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2024.
Ketiga: Pakej bantuan peralihan bagi kenderaan bahan api tunggal NGV
Pakej ini menawarkan pembayaran secara one-off kepada pemilik kenderaan yang layak, berdasarkan nilai semasa kenderaan yang akan ditentukan oleh wakil penilai bebas.
Syarat kelayakan utama adalah kenderaan jenis bahan api tunggal NGV yang didaftarkan dengan JPJ dan aktif untuk tempoh mulai 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2024.
Mana-mana pemilik kenderaan yang menerima tawaran ini, perlu menghantar kenderaan mereka ke Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) berlesen untuk dilupuskan dan membatalkan pendaftaran kenderaan dengan pihak JPJ.
Ketetapan ini bagi mengelakkan salah guna dan ubah suai haram yang akan lebih membahayakan semua pihak kelak.
Pembayaran pakej bantuan ini akan dilakukan dalam tempoh tiga ke tujuh hari bekerja selepas penyerahan Certificate of Destruction (COD) dan slip pembatalan pendaftaran kenderaan (borang K1d) dibuat oleh wakil AATF.
Dalam pada itu, Anthony berkata, ketika ini, terdapat dua kategori kenderaan motor yangmenggunakan bahan api NGV iaitu kenderaan dikuasakan petrol yang diubah suai dengan kit/komponen bagi penambahan penggunaan bahan api NGV (dual-fuel).
"Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lebih daripada 95 peratus daripada kenderaan NGV berdaftar adalah kenderaan dalam kategori itu.
"Kategori kedua adalah kenderaan import khusus menggunakan NGV sahaja (monofuel).
"Daripada dua kumpulan kenderaan di atas, terdapat kira-kira 44,383 kenderaan aktif yang berdaftar dengan bahan api NGV di dalam rekod JPJ bagi tempoh tiga tahun.
"Ia membabitkan 9,509 teksi dan kereta sewa pandu; 32,137 kenderaan pendaftaran persendirian; 2,150 bas dan lori dan 587 unit kenderaan/jentera," ujarnya.
Anthony memberitahu, berdasarkan kepada data di atas, jumlah kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api NGV adalah amat kecil berbanding populasi keseluruhan kenderaan motor berdaftar di Malaysia, iaitu 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan motor (selain motosikal).
Beliau berkata, berdasarkan rekod, tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah di antara 1995 sehingga 2014.
Tempoh itu, katanya, memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan yang terbabit kini berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti.
"Tangki NGV ini mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun dan sekiranya tidak diganti ia tidak selamat digunakan dan boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa sahaja yang boleh mendatangkan bahaya kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda yang dahsyat.
"Selain itu, terdapat segelintir pengguna yang melaksanakan ubah suai kenderaan dengan menggunakan silinder gas memasak (LPG) yang berbahaya dan mendatangkan risiko kemalangan dan letupan.
"Penggantian menggunakan komponen-komponen tulen pula akan memakan kos yang tinggi sehingga boleh melebihi RM7,000 bagi satu kenderaan.
"Menyukarkan lagi keadaan, alat ganti NGV terutama tangki tulen sama ada sudah tiada lagi atau sukar diperoleh di pasaran tempatan.
"Dalam hal ini, melalui pemerhatian dan maklum balas yang diterima, terdapat pemilik kenderaan yang menggunakan alat ganti daripada tangki yang digunakan atau pengubahsuaian tidak diiktiraf, termasuk menggunakan tangki gas LPG.
"Semua perkara ini akan akhirnya mendatangkan risiko keselamatan, kecederaan atau kematian kepada semua pengguna atau pemilik kenderaan terbabit," katanya.