Tiada lagi import cili merah dari Vietnam dibenarkan tahun ini

Bernama
Julai 29, 2019 13:02 MYT
Pemantauan persampelan cili merah dari negara berkenaan menunjukkan kandungan maximum residue limit (MRL) melebihi paras dibenarkan. - Gambar hiasan
Tiada lagi pengimportan cili merah dari Vietnam dibenarkan sepanjang tahun ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.
Beliau berkata, ini berikutan pemantauan persampelan cili merah dari negara berkenaan menunjukkan kandungan maximum residue limit (MRL) melebihi paras dibenarkan.
"Kementerian juga telah menghantar notifikasi kepada pihak berkuasa Vietnam bagi mengambil tindakan sewajarnya dan melaporkan tindakan pencegahan yang membolehkan penggantungan import permit ditamatkan.
"Kementerian juga menetapkan syarat sanitasi dan fitosanitasi bagi kemasukan cili segar dari Vietnam seperti mensyaratkan pensijilan amalan pertanian baik selain menggalakkan penanaman dan meningkatkan pengeluaran cili tempatan yang bebas racun serta berkualti bagi memenuhi permintaan cili dalam negara," katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad yang ingin tahu sejauh mana usaha yang diambil kerajaan dalam menangani ancaman cili import beracun dari negara berkenaan susulan penjualannya di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak yang disahkan Kementerian Kesihatan, tahun lepas.
Sim berkata, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sentiasa melakukan pemantauan berterusan dan pemeriksaan yang lebih teliti bagi sebarang produk pertanian khususnya dari Vietnam.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Mohd Suhaimi Abdullah yang ingin tahu kesahihan penularan video makanan pemprosesan yang didakwa beracun antaranya dengan mewarnakan durian supaya kelihatan lebih segar, Sim berkata video itu adalah video lama dan tidak berlaku di negara ini.
-- BERNAMA
#cili #cili merah vietnam #kementerian pertanian #konsumer #maximum residue limit #MRL #pengguna #Sim Tze Tzin
;