Tiada lagi hutan baharu yang akan diteroka - Pengarah Hidupan Liar Sabah

Zaim Ibrahim
Februari 20, 2018 13:36 MYT
Dua NGO, HUTAN dan Pusat Lapangan Danau Girang mengatakan, populasi orang utan di Sabah sejak 20 tahun adalah stabil.- Astro AWANI
Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) menyangkal dakwaan media asing yang mengatakan 6,100 orang utan terbunuh di Borneo antara tahun 1999-2015 malah mengatakan usaha kerajaan ke arah kelestarian hidupan orang utan memberi impak positif.
“Saya yakin usaha kerajaan memperuntukkan 30 peratus sebagai hutan simpan mampu mengekalkan kelestarian hidupan orang utan,” kata Pengarah SWD, Augustine Tuuga ketika dihubungi Astro AWANI.
“Fakta atau populasi orang utan sering berbeza daripada seorang sainstis dengan saintis yang lain. Hal ini demikian, kaedah penyelidikan yang dijalankan berbeza,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, tiada lagi hutan baharu yang dapat diteroka kerana yang tinggal hanya hutan simpan yang bebas daripada sebarang pembangunan atau penerokaan.
“Hutan-hutan yang diwartakan sebagai hutan simpan dikawal dan tiada sebarang penerokaan yang baru berlaku.”
“Sebagai contoh, Lebuhraya Pan Borneo tidak menganggu kawasan hutan simpan. Penerokaan yang dilakukan bagi membina lebuh raya ini hanya melibatkan kawasan telah diteroka,” katanya lagi.
Mahupun begitu, penerokaan hutan untuk penanaman kelapa sawit sememangnya menjejaskan habitat orang utan.
“Pihak kami telah menangkap haiwan tersebut dan memindahkannya ke kawasan perlindungan,” jelas beliau.
Semalam, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), HUTAN dan Pusat Lapangan Danau Girang mengatakan, populasi orang utan di Sabah sejak 20 tahun adalah stabil.
BACA: Populasi orang utan di Sabah sejak 20 tahun lalu stabil
Sebelum itu, satu kajian daripada Current Biology menganggarkan bahawa populasi haiwan itu menjunam lebih daripada 100,000 ekor sejak tahun 1999 di Borneo, disebabkan peningkatan industri minyak sawit dan kertas yang mengecilkan habitat hutan, serta peningkatan konflik haiwan dengan manusia.
BACA: Lebih 100,000 orang utan lenyap sejak 1999
#hutan simpan #jabatan hidupan liar sabah #kelapa sawit #kertas #konflik haiwan dengan manusia #Lebuhraya Pan Borneo #Orang Utan #Sabah
;