'Tiada lagi gelak tawa Angah'

Adie Sufian Zulkefli
Januari 9, 2019 16:37 MYT
Noor Hasyelawati Yusoff, 37, menunjukkan gambar anaknya, Mohammad Hafiz (kiri) dan Nurul Hanim. Kedua-dua beradik maut dikelar seorang lelaki ketika sedang tidur di rumah mereka di Yan, Kedah, malam tadi. - BERNAMA
"Tiada lagi telatah dan gelak tawa Angah."
Kehilangan Mohammad Hafiz Idris, setahun, dan kakaknya Nurul Hanim Idris, 5 tahun, yang lebih manja dipanggil 'Angah', amat dirasai seluruh anggota keluarga mereka.
Bagi Jamilah Ismail, 60, kehilangan kedua-dua cucunya itu sangat mengejutkan.
Jamilah adalah orang terakhir menyapa Angah pada pukul 7.30 malam Selasa sebaik cucunya itu sedar dari tidur.
BACA: 'Anak hang dah selamat mandi darah'
Katanya, dia hanya sempat bertanya kepada Angah jika dia hendak makan, tetapi cucunya itu beritahu dia letih dan hanya hendak tidur.
"Semasa dia balik dari sekolah, dia bercerita, dia kata dia ada buat lukisan. Jadi dia tunjuk lukisan tu. Dia beritahu, suruh simpan elok-elok lukisan tu, nanti apabila ibunya pulang, hendak tunjukkan kepadanya. Selepas itu dia pun pergi masuk tidur," kata Jamilah sambil menangis.
Tambahnya, Angah yang bersekolah di sebuah tadika di Kuala Sungai Yan, adalah seorang yang periang dan mudah bergaul.
Seorang jiran rapat keluarga itu, Norhayati Azmi, 20 tahun, Angah dan Mohammad Hafiz sering datang ke rumahnya dan bermain dengan anaknya yang juga berusia setahun.
Katanya, hampir setiap hari dua beradik itu datang ke rumahnya, tetapi semalam mereka tidak muncul kerana Angah tertidur selepas pulang dari sekolah.
Bagaimanapun, keadaan riuh rendah dan suasana panik mengejutkan Norhayati sekitar pukul 11.45 malam tadi.
"Saya terdengar makcik sebelah ketuk pintu rumah saya, panggil saya minta tolong selamatkan Hafiz...," kata Norhayati.
Tidak sangka kekecohan yang berlaku melibatkan kematian kedua-dua beradik itu.
#bunuh #kanak-kanak dikelar
;