Tiada lagi Galeri Cikgu Ramli, mahu jual semua barangan antik

Aida Aziz
Jun 11, 2022 11:20 MYT
Hobi dan minat bekas guru ini mengumpul barangan bernilai tinggi seperti itu bukan setahun dua, tetapi sejak dia berusia lapan tahun. - Astro AWANI/Ramli Abu Itam
IPOH: Ribuan koleksi antik seperti kamera, poster Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Saloma, gramophone (pemain piring hitam), jam termasuk Coca-Cola ada di sini.
Ramli Abu Itam, 67, atau mesra disapa Cikgu Ramli kini sedang dalam proses menjual kesemua barangan antik di rumahnya kepada sesiapa yang berminat.
Hobi dan minat bekas guru ini mengumpul barangan bernilai tinggi seperti itu bukan setahun dua, tetapi sejak dia berusia lapan tahun.
Dia pernah menjadi pendidik di beberapa buah sekolah seperti Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Sekolah Menengah Raja Permaisuri Bainun Ipoh serta Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, Ipoh.
Dia menyandang jawatan terakhir sebagai Penolong Pengarah Kokurikulum (Kesenian) Sektor Pembangunan Kemanusiaan di Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) pada tahun 2010, sebelum bersara enam tahun selepas itu.
Rumah yang terletak di No 1, Hala Klebang Restu 9, Medan Klebang Restu, Chemor ini sarat dengan koleksi menarik yang dikumpulnya sejak berpuluh tahun lalu.
Minat yang mendalam itu turut membawa Ramli ke beberapa buah negeri termasuk Singapura, Indonesia dan England demi mencari khazanah atau koleksi rare yang hampir hilang.
"Tiga kali saya ke England untuk dapatkan barangan antik di sana, tempat itu di The Junk Shop berdekatan Greenwich.
"Di situ banyak barang Malaysia, salah satunya yang saya dapat ialah setem dari negara kita," katanya.
Bercakap kepada Astro AWANI baru-baru ini, Ramli mengakui sudah tiba masanya dia menjual koleksi kesayangannya itu susulan faktor umur dan mahu meluangkan masa bersama-sama keluarga.
Walaupun berat hati namun dia sudah membulatkan tekad setelah berbincang dengan isteri serta anak-anak.
Ramli turut menghargai jasa dan pengorbanan isterinya, Zalilah Mohd Sulaiman yang menjadi tulang belakang dengan menyokong minatnya selama ini.
"Berapa lama lagi saya boleh jaga barang-barang ini? Saya khuatir lama-kelamaan bila saya tiada lagi kudrat, kemungkinan ia berakhir dengan dijual atau dilelong tanpa mengambil kira nilai estetika.
"Perkara ini sudah banyak saya lihat, malah berlaku kepada kawan-kawan saya yang juga pencinta barang antik, bila mereka meninggal dunia barang ini hilang sekelip mata.
"Isteri dan anak-anak sangat sayangkan koleksi ini tetapi saya faham yang mereka pun tidak tahu cara menjaganya sama macam yang saya buat selama ini, kami reda dengan keputusan ini," katanya.
Bercerita lanjut mengenai keputusannya itu, Ramli berkata dia turut memberi peluang kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mempamerkan koleksinya itu di ruang khusus, bagi tatapan orang ramai.
"Ramai yang sudah tempah untuk beli, tapi saya masih berharap supaya ada pihak seperti kerajaan atau swasta yang boleh menempatkan koleksi saya seperti di muzium untuk tatapan generasi akan datang. Itu saya akan beri secara percuma.
"Kalau tiada rezeki untuk dipamerkan, saya alu-alukan kepada orang yang berminat untuk beli dan ambil semua koleksi di sini," katanya.
Koleksi yang masih ada di sini seperti Coca-Cola edisi pertama dunia tahun 1894, gramophone, telefon pelbagai tahun keluaran, kamera, buku dan pinggan mangkuk.
Selain itu ada kad telefon edisi terhad, radio lama, piring hitam dan banyak lagi barangan yang berbaloi untuk didapatkan di sini, pendek kata ia sangat jarang ditemui sekarang.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#koleksi antik #Galeri Cikgu Ramli #P Ramlee #Khazanah
;