Tiada lagi debu asap kesan Gunung Berapi Sinabung
Fauzi Suhaimi
Ogos 11, 2020 19:47 MYT
Ogos 11, 2020 19:47 MYT
Sejak pukul 8 pagi tadi, tiada lagi asap debu kesan daripada letusan Gunung Berapi Sinabung berterbangan dalam ruang udara negara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, perkara itu disebabkan oleh angin dari Monsun Barat Daya yang kuat dan kejadian hujan di beberapa kawasan berkenaan.
"Berdasarkan ramalan dan pemantauan dari Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau (VAAC) Darwin, Australia, mendapati asap debu gunung berapi yang ada di ruang udara negara semakin sedikit dan berkurangan sejak pagi tadi.
"Ini disebabkan oleh angin daripada Monsun Barat Daya yang kuat dan kejadian hujan mengakibatkan debu itu jatuh serta terbang ke tempat lain," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Kejadian letusan Gunung Berapi Sinabung tidak akan menjejaskan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara ini meskipun asap debunya memasuki ruang udara negara di utara Selat Melaka dan negeri-negeri di utara serta timur Semenanjung.
Dalam perkembangan lain, Jailan berkata, kejadian angin ribut yang melanda Melaka pagi Selasa merupakan ciri-ciri Monsun Barat Daya.
Katanya, musim itu akan mengakibatkan kawasan pesisir pantai barat Semenanjung berpotensi berlaku hujan lebat serta ribut petir (garis badai).
"Keadaan ini memang boleh berlaku tetapi tidak terlalu kerap.
"Bagaimanapun fenomena itu tiada kaitan dengan kejadian gunung berapi yang melanda Pulau Sumatera, Indonesia," katanya.
#angin ribut yang melanda Melaka
#Gunung Berapi Sinabung
#Indonesia
#Jabatan Meteorologi Malaysia
#Malaysia
#Monsun Barat Daya
#Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau