Tiada lagi buaya di Tasik Shah Alam Seksyen 7 - Perhilitan

Sinar Harian
September 10, 2024 16:30 MYT
Anggota Perhilitan Selangor mengeluarkan perangkap yang dipasang di Taman Tasik Shah Alam Seksyen 7 dekat sini.
SHAH ALAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan Taman Tasik Seksyen 7 dekat sini selamat dan tiada buaya lain dikesan berada di kawasan berkenaan setakat ini.
Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pemantauan dijalankan pihaknya selama tiga hari berikutan penemuan seekor buaya tembaga jantan pada 4 September lalu.
Menurutnya, pemerhatian rapi itu dilakukan menggunakan kaedah dron, 'night vision' dan menyuluh bagi mengesan kehadiran reptilia tersebut.
"Anggota kita memantau seluruh kawasan tasik itu sehingga waktu malam dan tiada lagi menemui buaya sekali gus disahkan selamat," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mohd Adib memberitahu, perangkap buaya juga telah dikeluarkan pada Sabtu lalu dan operasi telah tamat sepenuhnya.
Beliau memberitahu, buaya yang berjaya ditangkap telah dilepaskan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil dan didapati tiada sebarang penyakit.
Katanya, Perhilitan tidak membuka sebarang kertas siasatan berkaitan tangkapan berkenaan.
"Kita tidak menolak kemungkinan sama ada buaya itu sesat ketika banjir atau dibuang oleh pihak tertentu," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan hidupan liar supaya menyalurkannya kepada Perhilitan menerusi talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Perhilitan Selangor berjaya menangkap buaya tembaga di Tasik Shah Alam Seksyen 7 di sini.
Buaya jantan sepanjang 1.68 meter dengan anggaran berat 15 ke 20 kilogram (kg) diburu sejak 2 September lalu memasuki perangkap terapung kira-kira jam 10.20 malam dua hari kemudian. - Sinar Harian
#Tasik Shah Alam #buaya #Perhilitan #buaya sesat
;