Tiada korban tanah runtuh di Jabor

Astro Awani
Disember 26, 2012 04:04 MYT
Jalan masuk utama Jabor-Jerangau ke Air Puteh di Kilometer 139 kini sudah boleh digunakan selepas kerja membaik pulih jalan terbabit yang terjejas akibat runtuhan tanah awal pagi ini selesai dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Che Suza Che Hitam berkata jalan tersebut dibuka kira-kira 5 petang ini dan turut terbabit dalam runtuhan tanah itu ialah sebuah lori dan lima kenderaan jenis sedan.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan kini jalan sudah boleh dilalui semua jenis kenderaan," katanya.
Katanya dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi ini tebing jalan setinggi 12 meter runtuh dan menimbusi jalan sepanjang 50 meter.
Menurutnya runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat sehingga menyebabkan berlaku pergerakan tanah.
Sebelum ini terdapat laporan mendakwa sekurang-kurangnya seorang mangsa dilaporkan hilang selepas ditimpa timbunan tanah ketika sedang tidur dalam kenderaan.
Kejadian dipercayai berlaku kira kira jam tiga pagi tadi.
Dua jentera digunakan bagi menjalankan kerja-kerja menggali di kawasan pinggir bukit di kawasan terbabit.
Tenaga Nasional Berhad membantu memutuskan bekalan letrik berikutan sistem pendawaian yang menghalang kerja mencari dan menyelamat.
Enam kenderaan terbabit dipercayai di tinggalkan di kawasan itu berikutan kawasan penempatan penduduk dinaiki air.
Operasi mencari dan menyelamat siang tadi dijalankan dengan kerjasama polis, JPAM, Jabatan Kerja Raya.
#banjir #Kemaman #PDRM #polis #tanah runtuh #terengganu #tertimbus