Tiada kompromi terhadap rasuah, oleh 'jerung' mahupun 'bilis' - #RasuahBusters
Israr Khalid
Februari 14, 2023 07:15 MYT
Februari 14, 2023 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Perhatian serius harus diberikan kepada sebarang bentuk perbuatan rasuah, tidak kira sama ada besar atau kecil jumlahnya, dilakukan oleh orang kenamaan atau rakyat biasa.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters) Norhayati Nordin, tindakan yang diambil terhadap ‘jerung’ memang akan memberikan impak persepsi yang lebih besar kepada masyarakat, namun ia tidak bermakna perbuatan oleh ‘bilis’ boleh dipandang ringan.
Beliau yakin bahawa tangkapan atau pemerhatian dan siasatan yang dibuat terhadap ‘jerung-jerung’ akan memberi contoh yang baik apabila keadilan itu dilihat terjamin.
“Maka amat penting untuk kita perbaiki sudut tangkapan terhadap ‘jerung’ dan siasatan terhadap mereka yang berada di kedudukan yang menjadi kepercayaan, sebenarnya.
“Di satu sudut lain pula, saya secara peribadi melihat kadang-kadang ‘jerung’ itu pada posisi utama, tapi yang menjadi pemboleh kepada apa yang mereka lakukan itu adalah golongan ‘bilis’ ini,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Maka, kata Norhayati, bukan peristilahan ‘jerung’ atau ‘bilis’ yang dititikberatkan, tetapi mekanisme, lubuk di mana puncanya yang perlu dikenal pasti dan ditangani kerana kegiatan rasuah boleh berakar di peringkat mana sekalipun.
Justeru, tegasnya, rasuah dalam kalangan ‘bilis’ juga mesti ditangani dengan serius kerana ia boleh menjadi masalah yang lebih besar daripada perbuatan ‘jerung’ apabila ia dibiarkan membiak dan akhirnya bergerak dalam kumpulan yang besar.