Tiada kompromi, rakyat Malaysia guna laluan haram ke Thailand akan ditahan - Polis
Sinar Harian
November 18, 2024 19:29 MYT
November 18, 2024 19:29 MYT
KOTA BHARU: Polis Kelantan tidak akan berkompromi dan menahan rakyat Malaysia yang menggunakan laluan haram untuk keluar masuk ke Thailand bermula 1 Disember ini.
Ringkasan AI
- Penguatkuasaan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen: Polis Kelantan akan menahan rakyat Malaysia yang menggunakan laluan haram untuk keluar masuk ke Thailand mulai 1 Disember ini untuk mencegah jenayah seperti penyeludupan dadah dan senjata api.
- Penggunaan Laluan Sah: Semua rakyat Malaysia, termasuk pelajar yang berulang-alik, mesti menggunakan laluan yang diwartakan seperti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
- Pemantauan Ketat: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan memantau dan bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan ini, dengan denda sehingga RM10,000 bagi kesalahan memasuki negara jiran secara haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya kini menguatkuasakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen bagi mengelakkan lebih banyak kes jenayah termasuk penyeludupan dadah atau senjata api.
Menurutnya, kesemua rakyat Malaysia yang mahu ke Thailand tidak boleh lagi melalui 'lorong tikus' atau menggunakan laluan haram.
"Selama ini kita tidak menguatkuasakannya dan ramai yang ambil kesempatan menggunakan laluan salah dan tidak melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS)," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Beliau berkata, ketetapan itu turut membabitkan pelajar Thailand dan Malaysia yang berulang-alik di kedua-dua negara.
"Kita sudah membincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Gerakan Negeri sebelum ini.
"Kita akan tengok bagaimana penyelesaiannya, mungkin ICQS akan dibuka lebih awal," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata, semua anggota termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah diarahkan melakukan pemantauan dan bertindak bermula tarikh yang ditetapkan.
"Undang-undang sudah ada cuma kita perketatkan supaya mereka menggunakan jalan yang diwartakan bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan," katanya.
Jelas beliau lagi, selama ini ramai yang menganggap tiada masalah melalui jalan haram dan mereka bebas melakukan kesalahan itu.
"Jadi saya nak ingatkan rakyat Malaysia dan bukan dari Kelantan sahaja, jika mereka memasuki negara jiran secara haram, kita akan tahan di bawah seksyen ini dan hukumannya ialah denda tidak lebih RM10,000," katanya. -Sinar Harian