Tiada kompromi pegawai, anggota polis terlibat salah laku - KPN

Bernama
Oktober 18, 2024 15:30 MYT
Razarudin berkata pemantauan lebih ketat perlu dilaksanakan termasuk ujian saringan awal urin secara berkala. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiada kompromi terhadap pegawai dan anggota terbabit salah laku yang merosakkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM), tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata pemantauan lebih ketat perlu dilaksanakan termasuk ujian saringan awal urin secara berkala.
"Penyelia juga perlu memantau pegawai yang dikesan memiliki gaya hidup mewah melebihi kemampuan.
"Tindakan tegas harus diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya terkesan penglibatan dalam gejala rasuah, penyalahgunaan dadah mahupun lain-lain kesalahan yang berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi Oktober 2024 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman di sini hari ini.
Razarudin turut melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kes salah laku dalam kalangan pegawai polis.
"Bukan sahaja gagal dalam penyeliaan malah ada yang turut sama terlibat dalam kes jenayah seperti mana yang terkini, seorang pegawai polis berpangkat ASP bersama enam anggota polis yang ditahan kerana melakukan pemerasan dan cabul ke atas seorang wanita semasa siasatan kes narkotik.
Razarudin mengingatkan semua warga PDRM agar mengambil iktibar daripada insiden berkenaan dan menegaskan agar kepimpinan memastikan penyeliaan yang berkesan terhadap pegawai di bawah tanggungjawab masing-masing.
Selain itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan mengambil pendekatan lebih proaktif dalam mengesan dan menangani salah laku dalam kalangan pegawai polis.
-- BERNAMA
#PDRM #salah laku #anggota polis #Razarudin Husain
;