Tiada kompromi ke atas mana-mana pihak langgar hak pekerja - Steven Sim

Umavathi Ramayah
Mac 19, 2024 13:19 MYT
Steven Sim menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap majikan kerana setiap pekerja berhak ke atas gaji mereka. - Foto Japen
KUALA LUMPUR: Tiada kompromi terhadap mana-mana majikan termasuk parti politik yang melanggar hak pekerja.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap majikan kerana setiap pekerja berhak ke atas gaji mereka dan ia bukanlah satu perkara yang boleh dipermainkan.
"Kita tidak akan kompromi dibawah siapa sama ada swasta, kerajaan, parti politik, bukan parti politik. Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) akan ambil tindakan jika hak pekerja tidak dibela.
"Negara kita ada Raja dan undang-undang, tak kira siapapun baik swasta, syarikat kerajaan di negeri Kedah, Pulau Pinang atau parti politik, semua kena ikut undang-undang. Kalau tak salah, jangan khuatir, kita akan bantu," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) semasa sesi Pertanyaan Menteri-Menteri tentang satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia yang tular, berkait satu arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI.
Mengulas lanjut Steven Sim berkata, mana-mana pekerja yang terlibat dengan tunggakan gaji oleh majikan, boleh hadir ke Pejabat Tenaga Kerja (PTK) di cawangan berdekatan bagi mendapatkan khidmat nasihat.
Selain itu katanya, pekerja juga dinasihatkan untuk memfailkan kes buruh di PTK cawangan berkaitan bagi menuntut bayaran gaji yang tidak diterima.
"Kes buruh yang difailkan di PTK cawangan akan dikendalikan melalui Mahkamah Buruh bagi menyelesaikan tuntutan kewangan oleh pekerja terhadap majikan, sebagaimana dalam peruntukan dibawah Seksyen 69 Akta Kerja 1955.
"Pendirian kita adalah tegas dan tetap, iaitu pekerja berhak terhadap gaji. Justeru, Kesuma akan menguatkuasakan akta ini dengan sepenuhnya," jelasnya.
#Dewan Rakyat #Kementerian Sumber Manusia #hak pekerja #gaji #Steven Sim #majikan
;