Tiada kompromi kakitangan, pemain bola sepak terlibat rasuah - Ahmad Razif

Astro Awani
Februari 22, 2018 18:22 MYT
Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana kakitangan mahupun pemain bola sepak yang didapati terlibat dengan gejala rasuah. - Gambar fail
Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan berkompromi dan mempertahankan individu yang terbabit dengan gejala rasuah termasuk pemain bola sepak.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata tindakan tegas akan dikenakan tanpa mengira jawatan.
Menurutnya, amaran itu juga turut diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).
“Kepada mana-mana yang terlibat kita akan gantung... sehingga selesai kes. Kalau didapati tidak bersalah mereka akan terus sambung tetapi kalau mereka bersalah tindakan akan kita ambil.
“Ini adalah sebagai satu peringatan kepada semua pihak termasuk kakitangan kerajaan dan GLC atau pun sesiapa sahaja yang terlibat dengan gejala rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Terengganu bersama ahli lembaga pelawat hospital dan panel penasihat klinik kesihatan negeri Terengganu pada Khamis.
Semalam seorang pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu ditahan kerana disyaki telah terlibat dalam perbuatan rasuah.
Sementara itu, Ahmad Razif menyokong tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta pemain, pegawai pasukan termasuk jurulatih bola sepak mengisytiharkan harta masing-masing.
Beliau yang juga Presiden Bola Sepak Terengganu (PBSNT) berkata, langkah itu memastikan gejala tidak sihat tersebut dapat dibanteras.
“Usah biarkan barah rasuah ini terus menular dalam sukan bola sepak yang hanya merugikan pasukan dan pemain,” katanya.
#Ahmad Razif Abd Rahman #bola sepak #GLC #kerajaan terengganu #Menteri Besar #Rasuah #syarikat berkaitan kerajaan negeri
;