Tiada kompromi jika pegawai langgar Artikel 5.3 WHO FCTC - KKM

Bernama
Februari 2, 2023 15:58 MYT
Dr Norhayati berkata KKM memandang serius dakwaan bahawa dua pegawai kanannya dikatakan telah bertemu wakil daripada industri tembakau, yang didakwa melanggar Artikel 5.3 WHO FCTC. - Foto KKM
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melanggar garis panduan Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) dan polisi berkaitan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli dalam kenyataan hari ini berkata KKM memandang serius dakwaan bahawa dua pegawai kanannya dikatakan telah bertemu wakil daripada industri tembakau, yang didakwa melanggar Artikel 5.3 WHO FCTC.
Dr Norhayati berkata hasil siasatan awal KKM mendapati dua pegawai kementerian itu telah dikunjungi dua individu yang memperkenalkan diri mereka sebagai pemilik syarikat basikal Putrajaya dan syarikat percetakan.
Menurutnya tujuan perjumpaan itu untuk membincangkan cadangan bagi mengadakan program intervensi pengurangan berat badan, namun tiada sebarang persetujuan dibuat semasa perbincangan tersebut.
"KKM memandang serius dakwaan yang tular ini kerana ia menggambarkan imej yang tidak baik khususnya kepada KKM dan amnya kepada kerajaan," katanya.
Pada masa sama, Dr Norhayati berkata sebagai penjawat awam terutamanya kakitangan KKM, menjadi tanggungjawab mereka memastikan sebarang perjumpaan bersama mana-mana syarikat swasta mahupun badan bukan kerajaan, bebas daripada sebarang konflik yang boleh menjurus kepada kepentingan diri sendiri.
Artikel 5.3 WHO FCTC menetapkan Malaysia sebagai negara anggota, perlu melaksanakan dasar kesihatan awam berkenaan kawalan tembakau dan melindunginya daripada kepentingan komersial serta kepentingan industri tembakau berlandaskan undang-undang negara.
Artikel itu menetapkan garis panduan pelaksanaan dengan langkah kawalan mesti diwujudkan seperti mengehadkan sebarang interaksi bersama industri tembakau, memastikan ketelusan interaksi yang berlaku, menolak perkongsian dan perjanjian bersama industri tembakau serta mengelakkan konflik kepentingan bagi pegawai dan kakitangan kerajaan.
Justeru, Dr Norhayati berkata sebagai anggota parti kepada WHO FCTC sejak 16 Sept 2005, KKM sentiasa memastikan sebarang interaksi bersama industri tembakau adalah mematuhi garis panduan Artikel 5.3.
"Selain itu, polisi berkaitan yang turut dirujuk adalah seperti Polisi Pengurusan Percanggahan Kepentingan, Polisi Antirasuah, Polisi Pengurusan Hadiah, Polisi Pengurusan Pengaruh Luar dan Surat Sokongan; dan Polisi Kod Etika dan Tatakelakuan," katanya.
Baru-baru ini media melaporkan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menyuarakan kebimbangan berhubung pertemuan antara dua pegawai kanan KKM dan wakil industri tembakau, serta mendakwa mesyuarat itu melanggar WHO FCTC.
-- BERNAMA
#KKM #WHO #Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau #Dr Norhayati Rusli
;