Tiada kompromi anggota yang terlibat rasuah di sempadan

Bernama
November 24, 2019 05:12 MYT
HASANUDDIN: Kami tidak akan memberi 'muka' kepada pegawai, anggota dan anggota awam kami yang terlibat dengan penyeludupan, rasuah dan kesalahan lain. - Gambar fail
Polis Kelantan tidak akan berkompromi dengan anggotanya khususnya yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand sekiranya mereka didapati terlibat dengan aktiviti penyeludupan dengan cara menerima rasuah.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata tindakan tegas melalui undang-undang akan dikenakan berikutan anggota dan pegawai polis terikat dengan peraturan malah telah mengetahui undang-undang sedia ada (berkaitan jenayah rasuah).
"Kami tidak akan memberi 'muka' kepada pegawai, anggota dan anggota awam kami yang terlibat dengan penyeludupan, rasuah dan kesalahan lain dan tindakan tatatertib serta undang-undang bakal mereka terima," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Tanah Merah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini pada Ahad.
Pada majlis itu Hasanuddin menyaksikan penyerahan tugas oleh Pemangku Ketua Polis Tanah Merah ASP Mohd Zailal Wasubri kepada DSP Zainuddin Md Yusof yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tanah Merah yang baharu bagi menggantikan DSP Suzaimi Mohammad yang bertukar ke IPD Kuala Krai.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya dilaporkan mendedahkan terdapat beribu-ribu rakaman klip video berkaitan aktiviti penyeludupan sempadan negara akibat rasuah sejak 2017.
Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata pihaknya akan melakukan rondaan lebih kerap ketika musim banjir di negeri ini bagi mencegah kes kecurian apabila mangsa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara.
-- BERNAMA
#banjir #Hasanuddin Hassan #jenayah #kecurian #Kuala Krai #Latheefa Koya #mangsa #penyeludupan #Peraturan #pusat pemindahan #Rasuah #sempadan #SPRM #tindakan tegas #undang-undang #video
;