Tiada kompromi anggota polis ada masalah disiplin - Saifuddin

Bernama
Februari 14, 2024 18:16 MYT
Saifuddin berkata setiap kesalahan anggota polis akan dirujuk ke Suruhanjaya Pasukan Polis untuk tindakan lanjut. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai masalah disiplin serta melanggar etika kerja, demi menjaga imej dan reputasi pasukan itu.
Berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kesalahan sumpama itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan memberi kesan buruk kepada anggota lain dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada pasukan.
"Saya takkan defensif dalam bab ini. Sebagai agensi penguat kuasa yang terbesar di negara ini, maka pendekatan kita adalah, toleransi sifar.
"Kita tidak boleh kata ini cuma segelintir sahaja tapi kena ambil pendekatan atau sikap yang betul iaitu tiada tolenrasi, tiada basa-basi," katanya dan menyifatkan kesalahan itu sebagai tidak adil kepada lebih 120,000 anggota PDRM yang lain.
Media sebelum ini melaporkan beberapa laporan mengenai masalah disiplin, pelanggaran etika kerja, rasuah dan jenayah dalam kalangan anggota polis.
Mengulas lanjut mengenai isu itu pada sidang media, Saifuddin berkata setiap kesalahan anggota polis akan dirujuk ke Suruhanjaya Pasukan Polis untuk tindakan lanjut.
Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menyemak semula kriteria pengambilan anggota PDRM, beliau berkata tiada keperluan buat masa ini memandangkan jumlah pemohon masih tinggi iaitu antara 35,000 dan 40,000 apabila perjawatan bagi mengisi kekosongan Inspektor dibuka.
"Saya ada tanya panel temu duga, saya dimaklumkan bahawa yang memohon mempunyai pelbagai bakat, menguasai pelbagai bahasa, ada peguam yang sedang berkhidmat, bidang kelulusan bertaraf profesional. Ini menunjukkan minat untuk kerjaya polis masih tinggi," katanya.
-- BERNAMA
#Saifuddin Nasution #KDN #PDRM #masalah disiplin
;