Tiada kesesakan berlaku di stesen tren, monorel sewaktu PKPB - Rapid KL
Najmi Syahiran Mamat
Mei 6, 2020 18:23 MYT
Mei 6, 2020 18:23 MYT
Rapid KL menafikan berlaku kesesakan di stesen MRT Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Isnin iaitu hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan seperti yang tular di media sosial.
Menerusi status di laman Facebook, Rapid KL berkata gambar yang tular itu tiada kena mengena dengan perkhidmatannya dan ia tidak berlaku pada tren LRT.
“Jadilah pengguna media sosial yang bijak dengan tidak menyebarkan atau menghebahkan berita-berita palsu.
“Gambar kedua merupakan situasi sebenar di dalam LRT ketika PKPB dilaksanakan,” tulis status berkenaan.
Dalam masa sama, pihak Rapid KL turut memuat naik beberapa foto menunjukkan situasi sebenar di beberapa lokasi stesen tren, monorail dan platform menunggu bas.
“Laluan monorel juga menjadi tumpuan penumpang yang bekerja di pusat bandar pada pagi ini. Keadaan di stesen kelihatan terkawal.
“Di dalam tren pula, pengguna terus patuh mengamalkan penjarakan sosial dan hanya duduk di kerusi yang dibenarkan sahaja,” katanya.
Berikut peraturan kawalan pergerakan penumpang seperti yang dikeluarkan oleh Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bersempena dengan pelaksanaan PKPB:
Pengguna tren Rapid KL juga diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan ‘normal baharu’ yang telah ditetapkan dalam usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 sepanjang PKPB ini dilaksanakan.
#Bukit Bintang
#COVID-19
#Kementerian Pengangkutan
#koronavirus
#LRT
#MRT
#normal baharu
#pengangkutan
#prasarana
#RapidKL
#tren